Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dr Dzul: Fokus urus Covid-19 dirampas 'langkah Sheraton'

Mengulas lanjut berkenaan langkah pentadbiran PH menangani wabak Covid-19 sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata fokus pengurusan krisis itu telah dirampas (hijacked) oleh "langkah Sheraton" dan masa yang diambil untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melantik kabinetnya.

Dzulkefly juga berkata Muhyiddin, selaku bekas menteri dalam negeri, adalah individu yang lebih maklum berkenaan himpunan jemaah Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur.

"Mungkin sahaja beliau tidak perasan (pada masa itu) kerana ada agenda lebih serius yang mengganggu tumpuan kerja beliau.

"Menteri kesihatan (Dr Adham Baba) wajar bertanya beliau kalau ingin tahu berkenaan dakwaannya bahawa kerajaan PH gagal mengawal himpunan itu," katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Hantaran itu dibuat tidak berapa lama selepas Dzulkefly bercakap dengan Malaysiakini berkenaan dakwaan Adham, bahawa kerajaan PH sebelum ini telah gagal membendung kluster himpunan Tabligh, yang menjadi punca kepada gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di Malaysia.


Dr Adham perlu henti tuding jari salahkan PH, tegur Dr Dzul

Menteri kesihatan: Kerajaan PH gagal bendung kluster Tabligh


Himpunan itu, yang setakat ini mempunyai kaitan dengan 40 peratus kes positif di Malaysia, dihadiri kira-kira 16,000 orang dan berlangsung pada 28 Feb hingga 3 Mac.

Bermula 24 hingga 29 Februari, Malaysia dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri sementara. Negara tiada kerajaan sepanjang tempoh itu.

Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac, manakala kabinet kerajaan baru - termasuk menteri kesihatan - mengangkat sumpah pada 10 Mac.

Dzulkefly berkata sepanjang tempah lebih dua minggu, pengurusan Covid-19 tidak lagi mempunyai kepimpinan politik dan strategik.

"Sesungguhnya sangat mengecewakan, fokus mengurus krisis Covid-19 telah di'hijack' dengan keberantakan 'Langkah Sheraton'," katanya lagi.

'Langkah Sheraton' merujuk kepada keluarnya Bersatu dan sejumlah anggota parlimen PKR, diketuai Muhyiddin dan Azmin Ali, daripada PH untuk menubuhkan gabungan Perikatan Nasional bersama-sama Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil lain.

Nama itu susulan Hotel Sheraton Petaling Jaya yang menjadi tempat perkumpulan para anggota parlimen terlibat, pada 23 Februari.

https://www.facebook.com/Drdzulfanpage/posts/3683523758386735

 Pada masa sama, Dzulkefly yang kini mengetuai pasukan petugas Covid-19 Selangor, menyuarakan penghargaan kepada kepimpinan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang disifatkan sebagai cemerlang sepanjang "hari-hari kegelapan politik Malaysia".

Dzulkefly dan Noor Hisham

Semalam, beliau meminta Adham berhenti menuding jari dan menjadi peneraju dalam kepimpinan strategik bagi melengkapkan peranan Noor Hisham dalam menghadapi pandemik itu.

Antaranya dengan memanfaatkan kepakaran pakar kesihatan awam seperti pakar epidemiologi dan penyakit berjangkit, mengatasi tunggakan ujian Covid-19 dan memastikan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) yang mencukupi, selain memastikan semua pihak mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Dalam hantaran semalam, beliau turut menyuarakan gesaan sama dan "berhenti berpolitik", sebaliknya "benar-benar menguasai realiti cabaran getir yang dihadapi negara mutakhir ini", antaranya merancang secara konkrit 'exit strategy' bertahap bagi penamatan PKP selepas ini, serta bagi memulakan ekonomi selepas itu.