Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Pasaran kelam-kabut' akibat campur tangan Miti, dakwa Adun

Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong membidas tindakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mengarahkan syarikat logistik untuk memohon kebenaran beroperasi sepanjang tempoh fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP).

Chiong mendakwa, tindakan tersebut membawa kepada 'gangguan' terhadap sektor perkhidmatan penting yang baru saja kembali beroperasi.

“Saya boleh kata 'pasaran jadi kelam-kabut' akibat langkah Miti yang mencari perhatian ini," dakwanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Adun DAP itu, beliau menerima aduan daripada pemandu sayur semalam berkenaan 'gangguan' tersebut.

“Mereka terpaksa berhenti di balai polis di plaza tol Kulai di lebuh raya NSE.

“Pegawai polis berkata (syarikat pemandu lori) perlu ada kebenaran operasi dari Miti dan menolak surat kebenaran daripada ketua polis daerah Cameron Highlands dan Jabatan Pertanian,” katanya.

Minta kecuali kena mohon lagi

Tegas Chiong, beliau bingung selepas menerima aduan tersebut.

Pada 10 April lalu, Miti mengumumkan bahawa syarikat yang ingin beroperasi pada tempoh fasa ketiga PKP perlu mengemukakan permohonan menerusi laman web kementerian tersebut. Tiada cara permohonan lain.

Bagaimanapun, pada 13 April lepas, Malaysiakini melaporkan laman web tersebut gagal diakses berikutan aliran sesak pengunjung ke portal itu.

“Pada PKP fasa pertama dan kedua, kerajaan telah menjelaskan bahawa syarikat logistik dibenarkan menghantar barang keperluan asas setelah mendapat surat kebenaran daripada Jabatan Pertanian dan ibu pejabat polis daerah (IPD).

“Kenapa perlu kementerian lain campur tangan ketika kita berada di fasa ketiga PKP sekarang,” soal Chiong.

PM Muhyiddin Yassin bersama Menteri Miti Mohamed Azmin Ali.

Beliau turut merujuk kenyataan rasmi Miti di akaun Facebook semalam yang menjelaskan meskipun syarikat pengangkutan keperluan asas menerusi laut darat dan air disenaraikan sebagai perkhidmatan penting sewaktu PKP, langkah terbaru untuk mendapat kelulusan Miti itu bertujuan untuk membantu polis bagi mengenal pasti sekiranya syarikat tersebut benar-benar dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.

“Perkhidmatan penting tempatan telah berhadapan masalah selama sebulan dan akhirnya dapat meneruskan operasi di bawah pemantauan ketat.

“Sekiranya Miti ingin membenarkan banyak sektor untuk kembali beroperasi, kerjasama bersama beberapa kementerian antaranya, Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kesihatan perlu dilaksanakan,” gesa Chiong.

Miti kata Chiong lagi tidak wajar mengarahkan semua sektor, khususnya perkhidmatan penting untuk memohon kembali kebenaran beroperasi.

“Ini jelas mencerminkan kekurangan penyelarasan antara beberapa kementerian kerana berbagai kementerian mengeluarkan arahan masing-masing tanpa pertimbangan yang sewajarnya," katanya lagi.

Chiong meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya mengecualikan syarikat yang telah mendapat kebenaran pada tempoh PKP fasa pertama dan kedua daripada mengemukakan semula satu lagi permohonan kepada Miti.

“Ini dapat membantu langkah tidak penting yang bakal membawa ganguan pendapatan orang ramai dan kesan negatif terhadap ekonomi,” katanya lagi.

[Baca berita asal]