Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyebar berita palsu tak siuman? - Pakar sakit jiwa jawab

Penyebaran berita palsu meningkat ketika negara bergelut menangani wabak Covid-19 dipengaruhi personaliti pelaku berbanding faktor kesihatan mental, kata pakar psikiatri, Dr Mazni Mat Junus.

Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Serdang itu berkata kebanyakan penyebaran berita palsu dilakukan dengan bersebab seperti marah, kecewa dan tidak berpuas hati kepada sesuatu situasi, individu atau organisasi.

“Sebahagian tindakan itu juga dilakukan dalam keadaan sedar dan mempunyai perancangan yang teliti sekali.

“Maklumat palsu itu kebiasaannya ditulis dan disebarkan dengan pelbagai tujuan termasuklah mengelirukan orang awam atau mencipta situasi panik dengan meluas,” katanya kepada Malaysiakini.

Dr Mazni turut berkata tidak boleh dikatakan secara umum individu yang menyebarkan berita palsu mengalami masalah penyakit mental.

“Bagi menyatakan seseorang itu tidak siuman atau secara perubatannya mengalami masalah penyakit mental, penilaian dan pemeriksaan perlu di lakukan oleh pakar psikiatri.

“Mereka yang berbuat demikian juga akan mendapat kepuasan diri apabila matlamat yang dirancang telah tercapai,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian PKP di Putrajaya pada 14 April lalu berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah membuka sebanyak 217 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu Covid-19.

Katanya, ini termasuk 162 kes yang masih dalam siasatan, manakala 23 kes lagi sudah dikenakan pendakwaan di mahkamah, dengan empat tertuduh mengaku salah.

Kata Ismail, pihak polis akan meneruskan tindakan tanpa mengira saluran berita palsu itu di muat naik melalui media sosial, portal media dan sebagainya.

Ketagihan internet punca sebar berita palsu

Dr Mazni turut berkata seseorang individu yang menghabiskan masa terlalu lama melayari internet boleh membuka peluang kepada tindakan menyebarkan berita palsu yang boleh dikategorikan sebagai jenayah siber.

Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 cuma mengenal pasti permainan video sebagai teknologi yang menjadi punca ketagihan.

Pada 2001, WHO juga telah menyenaraikan ketagihan judi, dadah dan alkohol sebagai penyakit mental.

Secara sains biologi, tindakan memuaskan ketagihan menyebabkan tubuh mengeluarkan hormon endorfin (hormon rasa gembira) yang memberi kesan pergantungan kepada sesuatu bahan atau perbuatan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur Kenny Lim (gambar, bawah) mengakui internet dan media sosial adalah keperluan utama majoriti masyarakat sejak PKP dilaksanakan.

“Media sosial sesuatu perkara yang memang tidak boleh dielakkan oleh pengguna internet, namun mereka yang mengunakannya mesti bijak untuk menerima dan menapis maklumat-maklumat yang diterima.

“Bagi individu yang bertindak menyebarkan berita palsu ini kadang kala disebabkan mempunyai perasaan cemas dan takut dengan maklumat yang diterima sehingga merasakan dirinya dan orang sekeliling terancam,” jelasnya.

Lim turut berkata dengan persekitaran seseorang yang perlu duduk rumah kerana PKP, individu itu cenderung untuk melakukan penyebaran berita palsu.

Bijak kawal diri

“Dengan penerimaan maklumat atau berita yang banyak mengenai Covid-19, mereka akan rasa lebih terburu-buru untuk berkongsi kepada orang sekeliling dan media sosial tanpa memeriksa kesahihannya,” jelasnya.

Lim turut berkata tindakan menyebarkan berita palsu bukanlah satu penyakit yang memerlukan rawatan spesifik, tetapi individu itu perlu bijak dalam mendapatkan maklumat dan menggunakan internet.

“Jika mempunyai perasaan cemas dan takut, individu tersebut seharusnya berhenti sementara menggunakan teknologi tersebut.

Dalam pada itu, Dr Mazni pula berkata tiada rawatan rawatan khusus untuk individu yang menyebarkan berita palsu kerana ia bukan satu penyakit mental.

“Perbuatan itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan sekiranya didapati bersalah, mereka perlu dihukum mengikut undang-undang negara,” jelasnya.