Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pasangan pertama nikah secara online

Wabak Covid-19 yang melanda negara menyaksikan ramai bakal pengantin menangguhkan majlis akad nikah mereka.

Bagaimanapun perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan tidak menghalang pasangan Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif untuk diijabkabulkan.

Pagi ini, mereka menjadi pasangan pertama di Malaysia dinikahkan melalui sidang video dalam talian yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Majlis akad nikah kedua-dua pasangan berusia 29 tahun itu diadakan di rumah keluarga masing-masing di Setapak dan Setiawangsa, sambil disiarkan secara langsung oleh saluran TV Al-Hijrah.

Tidak seperti majlis akad nikah biasa, Muhammad Don dilihat duduk di ruang tamu dengan disertai oleh ahli keluarganya yang lain, manakala Nahdatul Aisyah ditemani kedua ibu bapanya.

Muhammad Don dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Majlis akad nikah secara dalam talian itu turut dikongsi Zulkifli melalui Facebook beliau hari ini.

Permohonan kebenaran berkahwin online merupakan inisiatif Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri bagi memudahkan pasangan yang ingin diijabkabulkan berikutan pelaksanaan PKP.

Antara negara yang melaksanakan nikah secara dalam talian berikutan wabak itu adalah Emeriah Arab Bersatu (UAE).