Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kilang tekstil dan plastik ganding bahu hasilkan PPE

Pengilang tekstil dan plastik berganding bahu untuk membuat peralatan pelindung diri (PPE) dan menyumbangkannya kepada barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19.

Pengeluaran PPE sukarela ini diselaraskan oleh Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) dan Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA).

Anggota mereka termasuklah pengeluar lampin, bungkusan makanan dan minuman, pakaian dan barang-barang kulit, kini menumpukan untuk membantu kerajaan mengatasi kekurangan PPE.

Kedua-dua organisasi itu telah menghasilkan lebih 5,000 helai pakaian dalam, 100,000 penutup kepala pakai buang, 105,000 beg sampah perubatan, dan 5,000 pelindung muka.

Sebanyak 80,000 pelindung muka yang lain sedang disiapkan.

Perincian itu didedahkan Presiden MPMA Lim Kok Boon yang mengatakan pihak industri membelanjakan sekitar RM1 juta beberapa minggu ini untuk membuat PPE.

Katanya, sekitar 10 anggota MPMA yang menghasilkan bungkusan makanan dan produk plastik lain secara sukarela melaraskan semula peralatan mereka bagi dugunakan untuk menghasilkan PPE.

"Mereka ketepikan mereka untuk menumpukan pada pengeluaran PPE. Mereka kehilangan wang tetapi ini bukan mengenai wang, ini mengenai menolong negara," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Pengerusi Jawatankuasa Pro-tem FMFTA, Tan Thian Poh berkata, kira-kira 10 kilang tekstil, pakaian dan kedai tukang kasut menjahit PPE secara sukarela, dan mereka dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi secara khusus untuk pengeluaran PPE.

"Anggota kami di KL, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka turut serta menjahit set PPE," katanya.

 

Dia juga mengesahkan bahawa FMFTA sedang berunding dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan perjanjian untuk pembuatan PPE.

"Kami belum menerima pesanan. Tetapi setelah kami menerimanya, kami dapat mula bekerja secepat mungkin. Kami sudah mendapatkan bahan (mentah)," katanya.

Tan berkata, sebelum wabak coronavirus, 90 peratus PPE diimport sementara 10 peratus dihasilkan di dalam negara.

Lim berkata Malaysia perlu mampu menghasilkan sendiri PPE dalam jangka masa sederhana dan juga dapat menghasilkan PPE yang mencukupi untuk penggunaan domestik sekiranya diperlukan.

"(Penyelesaian) jangka panjang adalah agar kerajaan meneliti bekalan PPE dalam negera untuk memastikan bekalan PPE mencukupi," katanya.

Lim yakin industri tekstil dan plastik dapat membantu kerajaan mengatasi masalah kekurangan PPE.

Bagaimanapun, dia menggesa kerajaan agar membenarkan industri berkenaan meningkatkan tenaga kerja mereka kepada 70 peratus, dan bukan hanya 50 peratus, seperti ditetapkan Miti.

[Baca berita penuh]