Muhyiddin takut berdepan pembangkang, kata Teresa
Anggota Parlimen pembangkang terkejut apabila menerima e-mel dari setiausaha Dewan Rakyat yang memberi notis persidangan parlimen pertama hanya akan diadakan selama sehari, kata Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Persidangan itu yang pada awalnya dirancang pada 9 Mac kemudian ditangguhkan sehingga 18 Mei, akan diadakan hanya sehari kerana pelaksaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memerangi penyebaran Covid-19, yang setakat ini mencatat 86 kematian.
"Ini sama sekali tidak dapat diterima dan bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen yang sudah lama wujud.
"Kerajaan Perikatan Nasional tidak memiliki asas yang sah untuk mengehadkan sesi parlimen hanya satu hari kerana walaupun terdapat perintah kawalan berikutan pandemik Covid-19, akhir-akhir ini kita melihat banyak negara demokrasi, seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat mengadakan sesi parlimen biasa.
"Malah, Korea Selatan bahkan mengadakan pilihan raya umum (pada hari Rabu) di bawah sekatan pandemik yang teruk," kata Kok dalam satu kenyataan malam tadi.
E-mel yang dihantar oleh setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat mengatakan tidak akan ada "sesi soal jawab lisan, soalan bertulis, usul dan persidangan khas" dalam satu hari persidangan itu.
"Sebab yang disebut dalam surat dari Parlimen tidak munasabah dan tidak masuk akal," kata Kok.
Beliau berkata kerajaan PN tanpa rasa malu dan terang-terangan menunjukkan penghinaan terbuka terhadap peranan dan fungsi parlimen.
"Kerajaan sedang berusaha menghalang dan melemahkan peranan Parlimen yang sah dan konsep pemisahan kuasa, dalam menghalang perbahasan mengenai pakej rangsangan.
"Kerajaan secara terang-terangan berusaha meranapkan melalui pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM 250 bilion (bersamaan dengan anggaran bajet setahun Malaysia), melalui "pintu belakang", tanpa meminta persetujuan yang sewajarnya dari parlimen," tambahnya.
Kok berkata adalah jelas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sangat takut berdepan anggota parlimen Pakatan Harapan dalam sesi parlimen yang sah, kerana ini mungkin memberi peluang kepada pembangkang mengerakkan usul undi tidak percaya terhadapnya sebagai PM.
Sementara itu, Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata beliau juga terkejut apabila menerima e-mel dari Ridhuan.
"Menurut notis parlimen, hanya akan ada Titah Yang di Pertuan Agong membuka sesi Parlimen yang baru, tetapi perbahasan usul terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah Diraja ditangguhkan ke mesyuarat Julai (13 Julai - 27 Ogos).
"Ini paling tidak dapat diterima kerana membuatkan parlimen seperti pentas lawak," kata Lim.
Katanya, keputusan itu mesti dipertimbangkan semula oleh perdana menteri kerana parlimen mesti memainkan peranan utama bagi menunjukkan perpaduan dalam menghadapi wabakCovid-19.
Lim menambah parlimen harus memastikan strategi yang paling berkesan untuk mengatasi krisis Covid-19 dan merangka 'pelan keluar' terbaik untuk memulihkan ekonomi negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai