Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ikon PKR tutup mata soal keadilan orang lain'

Dua anggota Wanita PKR tampil membela penggantungan ketua mereka Haniza Talha, mengkritik keputusan yang didakwa bercanggah dengan prinsip parti.

Dalam satu kenyataan keras hari ini, ketua komunikasi Wanita PKR, Carolyn Khor menyelar presiden parti Anwar Ibrahim.

“Jika ahli dan pemimpin parti dihakimi berdasarkan tuduhan berat sebelah dan tidak berasas, yang dibenarkan oleh hanya sebilangan pak turut yang hanya bertanggungjawab (answerable) kepada presiden parti, (maka) tidak syak lagi, parti ini telah bertukar menjadi parti milik seorang manusia sahaja, yang kuat berbau feudal.

“Ikon PKR bukan asing dalam perjuangan keadilan, tapi apabila soal keadilan orang lain, dia tutup mata pula (buat-buat tidak nampak).

“Kata orang, keadilan itu buta dan hal ini membawa PKR ke satu tahap baru kepura-puraan,” katanya.

Ketua Wanita PKR Terengganu Sharifah Norhayati Syed Omar pula berkata Haniza digantung ketika Adun Lembah Jaya itu berusaha keras membantu mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19.

“Dari awal pengumuman PKP (18 Mac) beliau gigih menyusun segala usaha untuk meringankan beban dan kegusaran rakyat untuk berhadapan dengan dugaan berat ini,” katanya dalam suatu kenyataan berasingan.

'Ini dendam'

Sharifah mempertikaikan tindakan lembaga disiplin PKR yang mengambil keputusan tersebut dalam tempoh PKP sedangkan dakwanya, lembaga itu sebelum ini “menjadi batu” dan “tidak berfungsi” sejak sekian lama.

“Berapa banyak aduan kami sunyi tanpa tindakan. Pelik di waktu PKP pula lembaga ini giat menjalankan siasatan dan mengeluarkan surat-surat dan notis-notis.

“Sungguh menghairankan,” katanya lagi.

Malah, Sharifah (gambar, atas) menyifatkan tindakan terhadap mereka yang dianggap penyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali dan bekas naib presiden Zuraida Kamaruddin sebagai perbuatan membalas dendam.

“Haniza digantung daripada jawatannya sementara menunggu siasatan lembaga disiplin," jelasnya.

Sebelum ini, Haniza mendakwa digantung kerana bertemu Azmin dan Zuraida, yang telah keluar parti dan menyertai Bersatu serta PN, menyebabkan runtuhnya kerajaan PH.

Haniza mempertikaikan penggantungan tersebut sedangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin merupakan tokoh penting yang memainkan peranan dalam kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), manakala Azmin dan Zuraida keluar PKR untuk menyertai Bersatu.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Tian Chua turut menerima surat tunjuk sebab.

[Baca berita asal]