Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

1.2 juta pengguna terjejas, bekalan air dijangka pulih tengah hari

Kira-kira 1,292 kawasan melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah di Lembah Klang dan Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan penurunan paras air di kolam-kolam utama kawasan tersebut, kata pengurusan Air Selangor.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som, tujuh wilayah itu adalah di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

"Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 11:00 malam tadi.

"Henti tugas keempat-empat LRA ini terpaksa dilakukan akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Abdul Halem, kesemua loji telah kembali beroperasi semula pada jam 6.30 pagi ini.

"Bekalan air dijangka akan pulih mulai hari ini jam 12 tengah hari secara berperingkat-peringkat ke seluruh kawasan yang terlibat," tambahnya dalam kenyataan hari ini.

"Tindakan pantas melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif (OPAK) di Bestari Jaya telah mempercepatkan aliran (flushing out) air yang tercemar ke hilir Sungai Selangor sehingga tiada lagi pencemaran bau dikesan pada muka sauk keempat-empat LRA tersebut," tambah Abdul Halem.

Selain itu, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemat dan digalakkan untuk muat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.