Teresa ingatkan pemimpin PAS fitnah lebih buruk dari membunuh
Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok menyangkal artikel ditulis Ketua Penerangan PAS Melaka Bakri Jamaluddin yang mengkritik usahanya mempromosikan penanaman buluh sebelum ini.
Menurut Teresa, artikel bertajuk “Apakah Buluh PAS dan DAP sama?" yang disiarkan Harakahdaily.net itu diputarbelitkan demi kepentingan sendiri.
"Saya ingin membetulkan beberapa perkara yang salah yang dibangkitkan oleh Haji Bakri.
"Haji Bakri sebagai seorang ustaz dan pemimpin PAS haruslah bercakap dan menulis apa yang benar, dan bukan memutar belitkan fakta mengikut kepentingan diri kerana Islam telah mengajar kita bahawa “fitnah adalah lebih buruk daripada membunuh," kata Teresa dalam catatan di Facebooknya.
Menjawab tuduhan Bakri, Teresa berkata Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2011 - 2020 memang dirangka sebelum Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, tetapi tidak dilaksanakan dengan serius.
"Oleh sebab itu, nilai eksport buluh pada tahun 2019 adalah sebanyak RM9 juta sahaja, sedangkan saiz pasaran bagi buluh global ialah AS$ 68 billion pada tahun 2018, seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sendiri.
"Semasa saya memegang jawatan Menteri di Kementerian Industri Utama, bila saya diberitahu oleh Pegawai MTIB berkenaan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh, saya pun mula giat mempromosi penanaman buluh sebagai tanaman baharu bagi negara kita, termasuk membawa pegawai MTIB untuk memberi pembentangan kepada beberapa Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan beberapa negeri.
"Selain daripada itu, saya juga berjaya mendapat peruntukan sebanyak RM6 juta dalam bajet 2020 untuk menubuhkan nurseri benih buluh," jelas Teresa.
Bakri semalam mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali (gambar atas) selepas dikritik hebat berkenaan usahanya untuk memajukan industri buluh negara.
Kata Bakri, MTIB sudah merangka pelan tindakan untuk memajukan industri berasaskan buluh pada 2016 lagi, iaitu dua tahun sebelum PH menjadi kerajaan.
"Oleh sebab itu berani saya katakan ini bukan brain child atau idea daripada Teresa Kok (bekas menteri industri utama PH) dan bukan juga Khairuddin.
"Tetapi yang hebatnya Khairuddin berani menjadikan program memajukan industri berasaskan buluh sebagai game changer di bawah MTIB dan bukannya bawah MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysian)," kata Bakri.
Bagaimanapun, Teresa berkata dakwaan itu tidak tepat.
"Ini kerana Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh telahpun bermula pada tahun 2011. Beliau (Khairuddin) hanya meneruskan dasar yang lama di bawah MTIB sahaja," katanya.
Kata Teresa, sebab utama Khairuddin menghadapi kritikan dan ejekan daripada orang ramai pada ketika ini adalah kerana pemimpin PAS itu pernah membuat kenyataan pada Mac tahun lepas yang menghina usaha beliau selaku menteri pada masa itu untuk mempromosi penanaman buluh.
Ia katanya, berdasarkan laporan yang salah yang disiarkan dalam Utusan Malaysia.
Ironinya ketika ini, kata Teresa, Khairuddin sendiri kuat mempromosi penanaman buluh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai