Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Firma data analisis hantar surat tuntut RM15 juta dari Sarawak Report

Berkshire Media Sdn Bhd telah mengeluarkan surat tuntutan undang-undang kepada Sarawak Report meminta bayaran RM15 juta dan permohonan maaf daripada laman itu susulan empat artikel dan kicauan di Twitter yang mengandungi tuduhan melibatkan Cambridge Analytica dan pilihan raya umum Malaysia pada tahun 2018.

Firma analisis data dan media digital serta pengasasnya, Muhammad Shaahidullah Shayaa, melalui firma guaman David Gurupatham dan Koay, telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 19 Februari kepada pengasas laman pembocor maklumat itu, Clare Rewcastle-Brown di alamatnya di London.

Menurut surat yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, pihak plaintif membuat tuntutan terhadap empat artikel yang dimuat naik antara bulan Mac hingga Mei 2018, dan juga ciapan di Twitter pada 3 Januari tahun lalu.

Empat artikel yang dimaksudkan di dalam bahasa Inggeris berjudul:

1. "EXCLUSIVE- UK’s Scandal Torn “Propaganda Machine” has Secret Ties to BN." (Eksklusif - Skandal di UK hancurkan "mesin propaganda" ada hubungan dengan BN)

2. “EXPOSE- Petronas Was Pitched as Front for a BN Covert Campaign by Cambridge Analytica/ SCL for the Sarawak Election." (Pendedahan - Petronas diminta jadi muka depan untuk kempen rahsia BN oleh Cambridge Analytica/SCL untuk pilihanraya Sarawak)

3. “More on Malaysia’s Mysterious Links with SCL." (Lagi mengenai kaitan misteri Malaysia dan SCL)

4. “Najib ‘Lied’ about Umno Links to SCL/ Cambridge Analytica." (Najib 'bohong' mengenai kaitan Umno dengan SCL/ Cambridge Analytica)

Kaitan dikatakan untuk sensasikan skandal

Empat artikel tersebut disiarkan Sarawak Report pada 18, 20, 26 Mac dan 5 Mei 2018. Pada 3 Jan 2019, ciapan Twitter bertajuk “Re: Cambridge Analytica dump data & Malaysia. Artikel kami mulai 2018."

"Dalam artikel-artikel yang disebutkan di atas yang diterbitkan oleh anda (Sarawak Report), anak guam kami menjadi sasaran, dinamakan dan disebut sebagai berkait rapat dengan skandal berkenaan sedangkan sebenarnya panak guam kami tidak mempunyai kaitan atau hubungan dengan syarikat-syarikat seperti SCL, CA dan/ atau skandal data Facebook-Cambridge Analytica.

“Anak guam kami hanyalah syarikat biasa yang menggunakan data dan analisis dan mengintegrasikan teknologi kepunyaannya untuk menyelesaikan cabaran komunikasi dan pemasaran.

"Anak guam kami dengan tegas mengarahkan bahawa artikel-artikel ini dibuat secara palsu dengan niat jahat untuk hanya menamakan anak guam kami dan menyebabkan kaitan yang dikatakan untuk mensensasikan 'skandal' padahal sebenarnya tiada kaitan seperti itu dan alasan utama untuk itu adalah bagi menimbulkan sensasi dan kandungan bagaimana skandal data Facebook-Cambridge Analytica di AS mencipta sensasi utama di seluruh dunia.

"Artikel ini dihasilkan dan diterbitkan untuk menarik perhatian yang sama dan menciptakan kesan yang sama di Malaysia dengan skandal data Facebook-Cambridge Analytica yang berlaku di Amerika Syarikat, mengambil kira minat dan skandal yang meluas pada pilihan raya umum Malaysia," kata surat tuntutan yang ditandatangani oleh pengarah urusan dan peguam firma guaman David Gurupatham.

"Anak guam kami selanjutnya mengarahkan supaya anda mengetahui sensasi di seluruh dunia mengenai skandal tersebut yang melibatkan CA dan SCL di Amerika Syarikat yang tidak mempunyai hubungan atau penglibatan dengan anak guam kami.

"Bagaimanapun, anda telah berusaha membuat kaitan menggunakan kata-kata untuk menggambarkan bahawa anak kami terlibat dalam memanipulasi data untuk secara tidak sah membantu kerajaan Barisan Nasional dengan menarik perbandingan terhadap apa yang dilakukan CA di Amerika Syarikat untuk mensensasikan berita, mengetahui bahawa ini adalah tidak benar kerana tidak ada kaitan,” kata surat itu.

'Dakwaan hubungan niaga beri kesan negatif'

Surat itu juga menyatakan bahawa artikel tersebut menyebabkan Berkshire Media dan Shaahidullah, yang juga dikenal sebagai Shahid Shayaa, mengalami penghinaan, tekanan perasaan dan mental yang teruk.

Surat itu juga menyatakan bahawa ini kerana hubungan perniagaan, yang sangat bergantung pada reputasi yang baik dalam industri, telah mendapat dampak negatif terutama dari segi kredibiliti dan kepercayaan.

Berkshire Media dan Shahid Shayaa antara lain menuntut ganti rugi RM15 juta dan ganti rugi atas fitnah, kerana merosakkan perniagaan dan reputasi baik mereka, penghinaan teruk, tekanan perasaan dan mental yang disebabkan oleh tuduhan tersebut.

Mereka menuntut Rewcastle-Brown memohon maaf secara terbuka dengan syarat-syarat yang perlu dipersetujui mereka.

Permohonan maaf berkenaan perlu disiarkan oleh Sarawak Report dan akhbar yang ditentukan pihak yang membuat tuntutan tersebut serta menarik keluar artikel yang didakwa fitnah itu dalam masa 14 hari selepas menerima surat tuntutan berkenaan.

Mereka meminta agar penyiaran dalam talian disekat, yang merangkumi komen dan ulasan, memadam dari mana-mana media atau forum dalam bidang tugas, jagaan dan kawalan Sarawak Report dengan serta-merta.

Mereka juga menuntut penghapusan dokumen peribadi dan sulit milik mereka yang diterbitkan oleh Sarawak Report pada artikel dalam talian bertarikh 8 Mei 2018.

Firma itu dan Shahid Shayaa juga menuntut janji bertulis bahawa Sarawak Report atau mana-mana ejennya tidak akan menerbitkan fitnah lebih lanjut terhadap mereka dengan apa jua cara dan bentuk pada masa depan.

Kata mereka, jika Rewcastle-Brown gagal berbuat demikian mereka akan memohon mahkamah bagi mendapatkan relief perintah injunksi dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan surat tuntutan itu.

Surat itu juga menyatakan bahawa jika Sarawak Report gagal membayar RM15 juta dalam 14 hari selepas menerima surat itu, prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap Sarawak Report untuk mendapatkan kembali jumlah tuntutan tersebut beserta kos, faedah dan perbelanjaan yang berkaitan dengannya.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, Gurupatham mengesahkan kandungan surat tuntutan tersebut, berkata surat itu telah dihantar melalui AR Registered Post ke Rewcastle-Brown serta telah diterima olehnya.

Katanya, jika Rewcastle-Brown gagal memenuhi tuntutan tersebut dalam masa 14 hari selepas menerimanya, maka firma itu telah mendapat arahan anak guamnya untuk mengajukan saman fitnah terhadap pengendali laman Sarawak Report itu.

Menurut Gurupatham, anak guamnya juga akan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapat kebenaran menyampaikan surat saman dan pernyataan tuntutan ke Rewcastle-Brown di London.

Pada 6 Januari, Berkshire Media telah menafikan terlibat dalam Cambridge Analytica atau kumpulan induknya, SCL Group, yang didakwa membuat kerja kontroversi untuk membantu BN memenangi PRU14.

[Baca berita asal]