Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Wahid Omar bakal jadi pengerusi Bursa Malaysia'

Bekas pengerusi Permodalan Nasional Bhd Abdul Wahid Omar disebut bakal menjadi pengerusi Bursa Malaysia yang baru, lapor The Edge.

Harian perniagaan itu memetik sumber dalam laporannya hari ini bahawa Abdul Wahid dikatakan akan dilantik menerajui Bursa Malaysia.

Menurut The Edge, CEO Bursa Malaysia, Muhamad Umar Swift ketika dihubungi enggan mengulas mengenai hal ini.

Abdul Wahid seorang veteran dalam komuniti korporat negara dan pernah memegang banyak jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk bank komersial Malayan Banking Bhd dan syarikat telekomunikasi nasional Telekom Malaysia Bhd.

Selama tiga tahun dari Jun 2013, Wahid menjadi menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi, sebelum dilantik sebagai pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada bulan Ogos 2016.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, beliau mengundurkan diri daripada lembaga PNB sebulan kemudian pada bulan Jun, dengan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz mengambil alih teraju daripadanya.

Selepas bertugas di PNB, beliau dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan dijadualkan memegang jawatan itu dari 1 Nov 2018 sehingga 31 Oktober tahun depan.

Awal hari ini, The Edge melaporkan pengerusi bukan eksekutif Bursa Malaysia, Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, diminta untuk meletak jawatan kerana isu-isu urus tadbir.

Suruhanjaya Sekuriti (SC), lapor The Edge pulamengesahkan Menteri Kewangan Zafrul Abdul Aziz memutuskan untuk membatalkan pelantikan Shireen berikutan perbincangan dengan pihak berkuasa pasaran modal Malaysia itu.

"Seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), kuasa untuk melantik dan menggugurkan seseorang pengarah kepentingan awam dan pengerusi Bursa Malaysia terletak pada menteri kewangan.

"Dalam melaksanakan kuasa ini, menteri telah berunding dengan SC sebelum beliau mengambil keputusannya," kata badan berkanun itu.