Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MB: E-bazar Ramadan di Selangor tak langgar peraturan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tidak memandang e-bazar Ramadan yang akan dianjurkan di Selangor sebagai melanggar arahan terbaru oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau menjelaskan sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) restoran masih dibenarkan beroperasi menggunakan penghantaran e-hailing.

Katanya, selain itu terdapat juga bazar agro yang masih dibenarkan beroperasi melalaui khidmat pesanan.

“Pada waktu ini, restoran-restoran masih boleh beroperasi dan menghantar makanan. Tidak ada bezanya dengan bazar-bazar tersebut.

“Pada waktu ini sebagai contoh, Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) membuat pasar tani yang kita namakan sebagai Selangor Agro Bazar atau Selangor Agro Market, yang juga berkonsepkan pembukaan gerai, barangan dan menghantar makanan (dan) barangan yang telah dipesan.

“Jadi saya tak nampak ada bezanya di antara bazar Ramadan dalam bentuk e-hailing dan sebagainya,” katanya melalui sidang video yang disiarkan secara langsung di Facebook Pemuda Amanah Nasional sebentar tadi.

Gambar hiasan, bazarRamadan.

Beliau menjawab soalan penonton tentang status penganjuran e-bazar Ramadan di Selangor setelah Ismail pada tengah hari tadi mengumumkan bahawa segala bentuk bazar tidak akan dibenarkan sepanjang tempoh PKP, meskipun yang melibatkan e-hailing.

“Mengenai e-hailing, apa saja yang berbentuk bazar walaupun ada e-hailing (tak dibenarkan).

“Kalau kita wujudkan bazar misalnya, 50 bazar sekelompok, e-hailing datang untuk mengambil di bazar tersebut selepas melakukan pesanan, ia tak boleh dilakukan, sebab saya dah sebutkan tadi, bazar tak dibenarkan.

“Gerai-gerai seperti itu tak dibenarkan. Tetapi yang perniagaan e-hailing biasa, yang sekarang pun dah dilaksanakan dan hantar ke rumah, perkara itu diteruskan seperti biasa,” kata Ismail dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, kata Amirudin, kerajaan Selangor pasti akan merujuk kepada bidang kuasa yang berkenaan dan tidak akan sekali-kali melanggar peraturan yang telah ditetapkan, memandangkan Selangor tidak akan cuba menggagalkan usaha untuk memutuskan rantaian jangkita Covid-19.

Pada 8 April, Amirudin mengumumkan platform digital E-Bazar Ramadan Selangor Grab bagi membolehkan para peniaga terus menjana pendapatan semasa bulan puasa nanti, dan dilaksanakan dengan kerjasama Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) dan Hijrah.

Dalam siaran langsung tadi juga, Amirudin berkata pembatalan bazar Ramadan dan ekspo raya akan menyebabkan seramai 16,544 peniaga terjejas mata pencarian.

Justeru, inisiatif itu yang melibatkan 15 lokasi dapur pusat (central kitchen) terpilih di seluruh negeri itu dijangka dapat membantu “sebahagian kecil” peniaga mencari pendapatan, bergantung pada kelayakan mereka.

Tambahnya lagi, mekanisme pelaksanaan e-bazar Ramadan itu akan diumumkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Ditanya mengenai anggaran peniaga yang bakal mendapat manfaat daripada penganjuran e-bazar berkenaan, Amirudin menganggarkan ia boleh menempatkan kira-kira 200 ke 300 peniaga, dengan setiap dapur pusat boleh menempatkan sekitar 10 ke 20 peniaga sahaja.

“Sebab kita nak pastikan penjarakkan fizikal itu berlaku, ya.

“[...] Namun ini perkara baru. Ini bukannya kita ada contoh mana-mana, dan kita akan cuba untuk mengkaji dan meneliti sebaik mungkin.

“Insya-Allah, menjelang Ramadan ini, kita akan dapat laksanakan kalau tidak secara berterusan pun, secara berperingkat, untuk memastikan pelan dan perancangan kita benar-benar tercapai,” katanya lagi.