Zakat fitrah di Wilayah Persekutuan ditetapkan RM5, RM7
Kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan pada tahun ini ditetapkan pada RM5 dan RM7, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata persetujuan itu dicapai Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan dengan melihat kepada situasi semasa ekoran penularan wabak Covid-19.
“Ini bertujuan bagi meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan bagi menunaikan kewajipan tersebut.
“Umat Islam di Wilayah Persekutuan boleh memilih untuk membayar antara dua kadar tersebut berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Zulkifli berkata penetapan kadar zakat fitrah RM7 adalah berdasarkan harga beras bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang digunakan oleh kebanyakan masyarakat.
Katanya Resolusi Muzakarah Khas Kali Kedua Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 April, juga menetapkan kaedah pembayaran zakat fitrah boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian di negeri masing-masing dengan mengambil kira peraturan Perintah Kawalan Pergerakan.
Selain itu, beliau berkata kadar zakat fitrah juga adalah mengikut ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Bagaimanapun, katanya jumlah bayaran yang perlu dibuat adalah bergantung kepada kemampuan pembayar dan ketua keluarga.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai