Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PKP: Industri besi, keluli bangun SOP lepas Miti benar beroperasi

Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (Misif) telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk anggotanya selepas mereka menerima kebenaran bagi meneruskan operasi semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Misif dalam satu kenyataan hari ini berkata SOP itu akan menjadi sumber rujukan memandangkan mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk garis panduan oleh agensi penguatkuasaan yang lain.

"SOP ini bertindak sebagai panduan kepada anggota Misif mengenai langkah kesihatan dan keselamatan yang disarankan termasuk perkara yang perlu diambil bagi mengurangkan kesan Covid-19 terhadap pekerja atau pelawat di dalam premis mereka," katanya.

Anggotanya, selepas mendapat kebenaran beroperasi, telah menghantar permohonan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk kelulusan rasmi.

"Misif amat berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf industri besi dan keluli Malaysia sebagai antara sektor kritikal yang dibenarkan beroperasi secara bertahap.

"Industri besi dan keluli menyokong serta melengkapi sektor industri utama yang lain seperti pembinaan, elektronik, gas & minyak, automotif, peralatan & jentera, aeroangkasa, perabot serta pengangkutan," katanya.

Misif dan anggota-anggotanya sentiasa bersedia untuk menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 termasuk dalam usaha memastikan kemampanan ekonomi negara, khususnya menjelang pasca-PKP dan Covid-19.

- Bernama