Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKP: Keputusan berkaitan ekonomi dibuat melibatkan KKM - Azmin

Semua keputusan berkaitan ekonomi, seperti operasi perkhidmatan, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dibuat dengan penglibatan Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali.

Azmin berkata, wakil KKM turut hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh, yang dibuat dua minggu lalu.

Keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu kemudian dibawa ke Kabinet pada 6 dan 10 April, katanya.

"Proses ini mestilah melalui KKM, yang amat penting untuk memberi panduan dan nasihat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan kementerianlain yang terlibat dalam sektor tambahan, agar usaha untuk kita membendung Covid-19 ini bersama-sama (selari) dengan KKM," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau juga menyuarakan penghargaan kepada KKM atas segala usahanya mengekang wabak tersebut dan juga membantu Miti dalam berdepan krisis itu.

Jawatankuasa khas itu diketuai oleh Azmin dan juga Menteri Pertanahan Ismail Sabri Yaakob.

Pada minggu lalu, Miti menerima kritikan kerana memasukkan perkhidmatan gunting rambut dalam senarai perkhidmatan dan sektor tambahan yang dibenarkan menyambung operasi ketika fasa ketiga PKP.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga tidak setuju dengan operasi perkhidmatan gunting rambut bagi tempoh itu.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula mempersoalkan keputusan membenarkan tiga sektor beroperasi semula, iaitu pembinaan dan perkhidmatan berkaitan, industri mesin dan peralatan serta elektrikal dan kejuruteraan.

Azmin tidak menyentuh soal itu ketika sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata syarikat terlibat perlu mematuhi garis panduan yang ketat, termasuk mengurangkan bilangan pekerja kepada "tahap paling minima atau tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah semasa yang diperlukan".

Syarikat juga perlu memberi kerjasama penuh kepada KKM dalam melaksanakan pengesanan kontak jika ada pekerja yang dijangkiti Covid-19, katanya lagi.

Beliau turut berkata syarikat yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP wajib memastikan pekerjanya menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik panel Perkeso.