Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

9 individu didakwa perdagang 3 wanita dibenar ikat jamin

Sembilan individu termasuk enam wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan untuk eksploitasi seks di sebuah rumah di Batu Maung, dekat George Town, sejak 2017, dibenar diikat jamin hari ini.

Hakim Norsalha Hamzah membenarkan kesemua tertuduh tersebut masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin ketika kes tersebut ditetapkan untuk sebutan pada hari ini.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh untuk tidak mendekati mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Semasa prosiding, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadap mereka oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Tertuduh lelaki ialah K Kumaran, 40, P Pumugam, 33, dan E Eswaran, 22, manakala tertuduh wanita terdiri daripada isteri Kumaran, D Dhanam, 36; S S Rajesvari, 35; B Kavitah, 34; adik beradik T Sarmilah, 24; dan Kausalya, 22; serta ibu mertua Kumaran, S Leelavathy, 48.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas memperdagangkan tiga wanita berusia antara 24 dan 37 tahun bagi maksud pelacuran di sebuah rumah mewah, di Jalan Southbay 7, Residence @ Southbay, Batu Maung, dekat George Town, antara Jun 2017 hingga Januari lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh atas alasan mereka terbabit dalam sindiket pemerdagangan pelacuran selain bimbang mereka akan mengganggu mangsa.

Peguam Dr Shamsher Singh Thind, yang mewakili kesemua tertuduh, memohon jaminan atas alasan kesemua anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis selain Kumaran yang merupakan pemilik kedai besi buruk perlu menanggung lapan tertuduh itu serta 10 orang anak di mana tiga daripadanya masih bayi.

Mahkamah turut menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Mac lalu, kesemua tertuduh didakwa di mahkamah sama, bagaimanapun tiada sebarang jaminan diberikan ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap yang bertindak sebagai hakim.

- Bernama