Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

YIK akan ikut langkah KPM tangguh peperiksaan

Kerajaan Kelantan akan membuat keputusan mengambil langkah seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi penangguhan peperiksaan dan persekolahan melibatkan sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya membuat perbincangan untuk sekolah di bawah YIK mengikuti langkah KPM dalam pengurusan sistem pembelajaran dan peperiksaan.

Justeru katanya, bahagian pendidikan Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diharap dapat mengeluarkan satu keterangan rasmi mengenai peperiksaan tahunan Ujian Penilaian Kelas Agama dan Fardu Ain (UPKK) 2020 serta perlaksanaan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berada di bawah selian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri.

"Hal ini kerana sijil agama berkenaan adalah penting dan sebagai penanda aras kefahaman anak-anak mengenai silibus pengajian agama yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah yang diambil KPM yang untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin berkata keputusan itu dibuat ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan yang menyebabkan sesi persekolahan diberhentikan.

Bagaimanapun beliau berkata satu mekanisme baru akan diperkenalkan bagi menilai murid tahun 6 dan tingkatan 3 tahun ini.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) and Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula, Radzi berkata peperiksaan itu akan ditangguhkan ke suku pertama 2021.

Sementara itu Mohamed Fadzli berkata, langkah yang diambil KPM itu mekanisme terbaik demi keselamatan bersama terutamanya melibatkan pelajar.

Menurutnya, dasar yang dibuat oleh kerajaan pusat adalah dasar bersama yang diputuskan selepas menyuarat antara KPM dan exco pendidikan bagi setiap negeri diadakan sebelum keputusan terbabit diumumkan.

"Alhamdulillah, keputusan ini ialah jalan terbaik dengan situasi PKP yang kita hadapi sekarang dan dibuat selepas mengambil kira semua pandangan termasuk daripada ibu bapa, barisan pimpinan dan exco kerajaan negeri.

"Kita juga sedia maklum dengan sentimen ibu bapa sendiri yang tidak membenarkan anak-anak mereka keluar ke sekolah selagi mana keselamatan tidak terjamin.

“Selain itu, KPM turut menegaskan pihaknya tidak membuat sebarang keputusan selagi tiada nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya yang juga Adun Temangan.