Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri: Tiada sebarang bentuk bazar dibenarkan

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata tiada sebarang bentuk bazar yang akan dibenarkan pada bulan Ramadan ini.

Jelas Ismail, keputusan itu dicapai selepas bermesyuarat dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Mesyuarat hari ini juga telah memutuskan bahawa sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu (drive through) dan tempah dan ambil (pack and pick) tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menjawab soalan pemberita, Ismail menjelaskan bahawa bazar berbentuk fizikal yang menggunakan perkhidmatan e-hailing juga tidak dibenarkan.

"Apa saja yang berbentuk bazar (secara fizikal), walaupun e-hailing (tidak dibenarkan). Kalau kita wujudkan bazar 50 sekelompok misalnya, dan e-hailing datang mengambil di tempat tersebut selepas (pembeli) melakukan pesanan, ia tidak boleh dilakukan.

"Tetapi perniagaan e-hailing biasa, yang sekarang pun dilaksanakan dan dihantar ke rumah, itu diteruskan seperti biasa," katanya.

Ramadan dijangka bermula pada 23 April ini.

Beberapa negeri sebelum ini mencari alternatif untuk membolehkan peniaga meneruskan perniagaan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Selangor, misalnya, mengumumkan program e-bazar dengan kerjasama syarikat penghantar Grab. Program itu melibatkan dapur berpusat.

Dengan pengumuman terbaru ini, program berkenaan mungkin tidak dapat dilaksanakan.

Kerajaan negeri Perlis sebelum ini mengumumkan akan membenarkan peniaga makanan berniaga di rumah sebagai langkah alternatif berikutan bazar Ramadan tidak dibenarkan.

Menteri Besar Azlan Man berkata peniaga perlu mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKP iaitu menjual makanan yang dibungkus atau menggunakan khidmat penghantaran ke rumah.

Untuk rekod, kebanyakan peniaga kecil-kecilan tidak dapat mendaftar dan mengiklankan perniagaan mereka di aplikasi seperti Grab seperti biasa kerana memerlukan premis perniagaan.

Kebanyakan mereka kini mengiklankan perniagaan mereka di media sosial dan membuat penghantaran sendiri atau menggunakan khidmat penghantaran e-hailing.