Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Norfarrah jahit PPE guna dua kaki

Belajar bagaimana untuk menggunakan mesin jahit bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi gadis berusia 32 tahun, Norfarrah Syahirah Shaari membuktikan  dia boleh melakukan tugas itu hanya dengan menggunakan kaki.

Dilahirkan tanpa kedua belah tangan, Norfarrah berkongsi video selama dua minit yang menunjukkan bagaimana dia mengendalikan mesin jahit menggunakan kakinya untuk menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) bagi kakitangan barisan hadapan di Hospital Teluk Intan dan klinik kesihatan Teluk Intan.

"Semangat nak menjahit baju PPE frontliner ni. Ni je yang mampu saya dan team staf kolej komuniti Teluk Intan serta beberapa sukarelawan tukang jahit sekitar Teluk Intan yang semangat nak membantu.

"Semoga urusan kami dipermudahkan," kata Pembantu Tadbir Kolej Komuniti Teluk Intan itu dalam hantaran di Facebook.

Menurut laporan Berita Harian, Norfarrah berkata beliau meminati bidang jahitan dan tidak berasa kekok menjahit dengan menggunakan kaki, malah turut menjahit baju untuk kegunaan sendiri sejak lapan tahun lalu.

“Ada juga bertanya macam mana saya masukkan benang dalam jarum dan menggunting kain. Sebenarnya sama saja seperti tukang jahit lain cuma saya guna kaki dan ini kelebihan yang Allah SWT beri pada saya.

“Saya mengambil masa kira-kira sesaat saja untuk memasukkan benang dalam jarum tapi kalau benang bergumpal memang ambil masa lama sikit,” katanya.

Menurutnya, inisiatif #DariKomunitiUntukKomuniti itu dilakukannya bersama sembilan sukarelawan yang juga kakitangan KKTI melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan turut dibantu 25 tukang jahit di sekitar kolej berkenaan.

“Sebanyak 400 meter kain digunakan untuk menghasilkan 252 gaun isolasi. Kain dipotong di kolej dan rumah beberapa tukang jahit sebelum diagihkan kepada semua sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing sejak enam hari lalu.

“Saya menjahit lapan pasang PPE namun dua saja yang sudah siap kerana perlu membahagikan masa dengan kerja lain dan enam lagi akan disiapkan dalam minggu ini,” katanya.