Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penjawat awam di N Sembilan dapat bantuan khas RM1,000

Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2020 sebanyak RM1,000 kepada 6,459 penjawat awam negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco khas di sini hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata selain itu, RM500 turut diberikan kepada pesara kerajaan, yang kesemuanya melibatkan peruntukan RM6.4 juta dan akan dibayar pada 8 Mei ini.

Beliau berkata langkah itu untuk membantu meringankan beban kewangan penjawat awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mampu meningkatkan lagi motivasi mereka dalam memacu pentadbiran negeri ke arah kecemerlangan.

"Pemberian BKK ini juga mampu meningkatkan kuasa membeli apabila terdapat lebihan wang di tangan pegawai perkhidmatan awam negeri memandangkan mereka adalah salah satu golongan pengguna yang penting dalam pasaran.

"Situasi ini akan meningkatkan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan dalam pasaran tempatan. Dengan jangkaan kemelesetan ekonomi, ditambah dengan penularan COVID-19 serta pelaksanaan PKP, tambahan wang di tangan ini akan merancakkan pengeluaran dan produktiviti sekali gus meningkatkan pendapatan negeri," katanya.

Aminuddin berkata keupayaan kerajaan negeri membuat bayaran BKK berkenaan adalah berdasarkan kedudukan rizab negeri yang kukuh pada 31 Dis 2019.

"BKK ini juga menggunakan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan Tahun 2019 (yang merekodkan) sebanyak RM126.44 juta," katanya.

Sementara itu, mengenai bantuan kepada pemandu teksi dan e-hailing, Menteri Besar berkata seramai 1,577 daripada keseluruhan 2,201 pemandu yang berdaftar di bawah persatuan dan syarikat e-hailing menerima bantuan RM300 seorang hari ini, dan dibayar terus ke akaun bank mereka.

"Agihan ini melibatkan sejumlah RM473,100. Baki 624 pemandu lagi akan menerima bantuan pada Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 1,472 daripada keseluruhan 8,002 peniaga kecil yang berdaftar di bawah PBT juga menerima bantuan RM300 seorang.

-Bernama