Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengurusan kes bekas pengurus Ambank batal saman Najib pada 15 Mei

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 15 Mei bagi pengurusan kes permohonan bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, untuk membatalkan saman difailkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap beliau, atas dakwaan pendedahan maklumat akaun banknya.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Yu berkata permohonan itu sebelum ini telah ditetapkan untuk didengar pada hari ini di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris, namun ia dilapangkan berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

"Mahkamah telah menetapkan 15 Mei untuk pengurusan kes berikutnya, bagi mendapatkan tarikh baharu mendengar permohonan," katanya kepada Bernama.

Najib, menerusi Tetuan Shafee & Co telah memfailkan saman tersebut pada 9 Dis tahun lepas dan menamakan AmBank, AMMB Holdings Berhad serta Yu sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif (Najib) mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib mendakwa defendan tanpa kebenaran telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga.

Beliau mendakwa bahawa defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu telah memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri, dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Low.

Najib mendakwa Low dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk menguruskan akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah 'ditandakan merah' oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Bekas perdana menteri itu berkata defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya walaupun akaunnya ditandakan merah.

Najib juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC, selepas pendakwaan mendedahkan perbualan antara Yu dan pihak ketiga.

Beliau memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.

- Bernama