Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hampir 15,000 pengingkar PKP ditahan dan 5,835 didakwa

KORONAVIRUS | Hampir 6,000 orang sudah didakwa di mahkamah kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi tempoh 18 Mac sehingga 14 April, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata untuk fasa pertama dan kedua PKP, seramai 14,922 orang yang melanggar peraturan ditetapkan telah ditangkap.

Bagi fasa pertama bermula 18 Mac sehingga 31 Mac, kata Huzir, seramai 3,627 orang ditahan.

"Bagi fasa kedua dari 1 April hingga 14 April polis menahan 11,295 pesalah lagi," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, kata Huzir, seramai 5,835 didakwa di mahkamah.

Semalam Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pengingkar PKP fasa ketiga - yang bermula hari ini - tidak lagi dikenakan kompaun sebaliknya terus ditahan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

Bagi sesetengah kes pesalah dikenakan hukuman penjara.

Hari ini Ismail Sabri juga berkata kerajaan bersetuju mewartakan bangunan akademi Jabatan Penjara sebagai pusat tahanan bagi memenjarakan pengingkar PKP.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Huzir berkata, jika seseorang itu ditangkap, kertas siasatan akan dibuka dan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dengan cadangan agar individu terbabit didakwa di mahkamah.

"Mengapa? Sebab polis dapat masih ada orang yang ingkar dan melanggar arakan PKP.

"Ini tak sewajarnya dilakukan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mendedahkan ada enam orang yang pernah ditangkap merana kesalahan berulang.

Katanya garis panduan yang ditetapkan sempena PKP sekarang adalah sangat jelas iaitu hanya pihak yang bekerja dalam sektor penting dibenarkan keluar.

"Selain daripada itu, mereka perlu mendapat izin daripada polis yang akan diberikan atas budi bicara ketua polis balai sesebuah kawasan," katanya.

[Baca berita penuh]