Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

1.17 juta permohonan i-Lestari KWSP diluluskan

Sehingga 12 April, 2020, kerajaan telah meluluskan 1.17 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melibatkan pengeluaran sebanyak RM572 juta bagi bulan Mei 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata di bawah program tersebut yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, rakyat Malaysia boleh mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP mereka bagi meringankan beban yang dihadapi.

“Ini menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang dapat meringankan beban mereka dengan duit ini.

“Adalah dijangka jumlah ini akan meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang,” katanya menerusi siaran video di laman Facebook beliau, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan telah menerima 1.28 juta permohonan i-Lestari KWSP setakat 12 April, 2020.

Mengenai Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di bawah Bank Negara Malaysia yang memperuntukkan sebanyak RM5 bilion, beliau berkata sehingga 12 April, 2020, hampir 3000 perniagaan telah diluluskan untuk menerima bantuan itu.

“Ia melibatkan jumlah sebanyak RM1.46 bilion, atau kira-kira 30 peratus tahap pelaksanaan,” katanya.

Bagi inisiatif subsidi upah bernilai RM13.8 bilion untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menteri kewangan berkata, setakat 12 April, 2020 sejumlah 31,000 majikan telah memohon.

“Daripada jumlah tersebut, 98 peratus merupakan syarikat kecil dengan jumlah pekerja 75 orang dan ke bawah.

“Anggaran implikasinya adalah berjumlah RM307 juta,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi Program Pengekalan Pekerja dengan peruntukan sebanyak RM120 juta untuk membiayai RM600 sebulan bagi pekerja yang bercuti tanpa gaji, sehingga 12 April, 2020, kerajaan telah menerima pemohonan daripada 6,900 majikan untuk 47,000 pekerja.

“Implikasi peruntukan adalah berjumlah RM28.6 juta,” katanya.

Perangkaan yang diumumkan oleh Tengku Zafrul itu adalah berdasarkan kepada laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilaporkan oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).

- Bernama