Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MTUC: Jangan ketepi keselamatan atas nama ekonomi

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengingatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar tidak hanya menumpukan ekonomi sehingga mengorbankan keselamatan awam.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata MTUC menerima keputusan kerajaan untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga 28 April, dan memandangnya sebagai satu keperluan.

"Langkah itu diperlukan untuk memastikan pembendungan Covid-19 kekal sebagai keutamaan, walaupun PKP menjejaskan ekonomi dan kehidupan pekerja.

"Bagaimanapun, MTUC bimbang tentang percubaan oleh beberapa pemimpin dan majikan tertentu untuk mengalihkan naratif Covid-19 dari aspek risiko kesihatan awam untuk membuka semula ekonomi.

"Nampaknya terdapat percubaan untuk mengalih perhatian masyarakat apabila perniagaan tidak penting dibenarkan dibuka semula, tanpa mempertimbangkan sama ada ia selamat atau tidak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Solomon menyokong keputusan Muhyiddin menarik semula kebenaran kedai gunting rambut, kedai kaca mata untuk dibuka.

MTUC juga memuji langkah memerintahkan para pelajar tetap tinggal di kampus universiti dan melarang operasi bazar Ramadan ketika PKP.

"Bagaimanapun, persoalan-persoalannya tetap bergantung pada keperluan untuk membenarkan perniagaan lain yang tidak penting seperti dobi, kedai perkakasan dan kedai elektrik untuk beroperasi, terutamanya apabila tidak banyak diketahui tentang langkah-langkah keselamatan yang akan dilaksanakan untuk memastikan keselamatan majikan, pekerja dan orang awam," katanya.

Solomon berkata, MTUC menentang sebarang langkah untuk membuka perniagaan yang tidak penting tanpa sokongan penuh Kementerian Kesihatan.

"Bahaya membuka lebih banyak kedai terlalu besar, memandangkan apa yang kita tahu tentang Covid-19.

"Risiko dijangkiti Covid-19 yang wujud setiap kali kita melangkah keluar dari rumah kita adalah sangat nyata dan tidak boleh dipandang kecil atas pertimbangan ekonomi," katanya.

[Baca berita penuh]