Beli hartanah pasca tempoh Covid-19 jika mampu - PropertyGuru
Kalangan pelabur hartanah serta mereka yang berhasrat memiliki rumah sendiri, disaran membeli hartanah itu pada tempoh pasca COVID-19 berikutan jangkaan bahawa harga aset itu akan susut.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata terdapat kemungkinan pemaju hartanah menambah nilai (kepada projek atau unit yang ditawarkan) manakala harga yang diminta terhadap hartanah itu pula akan berkurangan.
Selain itu, katanya, persekitaran pembiayaan juga akan lebih kondusif berikutan tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berbanding 8.0-9.0 peratus atau pada kadar dua angka sebelum ini.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa usaha pembelian hartanah memerlukan komitmen serta pelaburan jangka panjang.
"Oleh itu, ia bukan satu pilihan yang baik sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk membelinya bagi tempoh tertentu walaupun harga dijangka jatuh dalam tempoh singkat pasca COVID-19 serta kemungkinan keadaan pulih pada masa terdekat," katanya dalam persidangan maya bertajuk ‘Beli Hartanah Atau Tidak Pasca COVID-19?’ anjuran PropertyGuru Malaysia.
Beliau berkata, walaupun kerajaan baru-baru ini mengumumkan beberapa langlah bagi membantu orang ramai seperti moratorium mengenai pembayaran balik pinjaman serta penstrukturan semula baki kad kredit tertunggak selama enam bulan, ini tidak memadai untuk mereka yang berhasrat mencari penyelesaian jangka pendek.
Merujuk krisis kewangan Asia 1997/1998, beliau berkata kediaman jenis bertingkat dan rumah teres merupakan kategori hartanah yang lebih berdaya tahan berbanding lain sepanjang krisis serta tempoh pemulihan terbabit.
Bagaimana pun, katanya, keadaan mungkin tidak sama bagi tempoh pasca COVID-19 kerana ini merupakan situasi di luar jangka dan tidak pernah dialami sebelum ini.
Pada 3 Mac lepas, BNM bertindak menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus manakala kadar lantai dan siling koridor OPR turut dikurangkan masing-masing pada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Oleh itu, berikutan lebih banyak kecairan domestik dan penyusutan ketara permohonan pinjaman, akan menyaksikan institusi kewangan mendapatkan peminjam berkualiti, demikian menurut salah seorang panelis pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyProperty Data Joe Hock Thor.
"Keadaan semasa mungkin disenangi oleh pelabur spekulatif kerana mempunyai pilihan baik bagi mendapatkan aset-aset yang baik. Faktor yang ada ialah dari segi permintaan dan masa. Saya juga percaya penurunan harga dan kadar faedah rendah itu akan meningkatkan dari segi pulangan sewa,” katanya.
Selain itu, beliau berkata adalah penting untuk kalangan pemain industri hartanah menggunakan Revolusi Perindustrian 4.0 demi masa depan perniagaan, transaksi urus niaga dan volum hartanah mereka.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai