Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP KK disingkir dari jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan

MP Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata beliau telah diberhentikan secara rasmi daripada jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

"Akhirnya pada petang ini, saya telah menerima surat penamatan pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) walaupun surat itu telah "backdated" ke 1 April.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sekerja di LPL dan juga sokongan, dan panduan daripada pihak Kementerian," katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Chan turut menyertakan gambar surat itu pada hantaran tersebut.

Surat yang ditandatangani oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong itu menyatakan telah "meneliti dan menyemak semula semua keanggotaan pengerusi dan ahli lembaga pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BPP) dan agensi-agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pengangkutan."

"Sehubungan dengan itu, adalah diputuskan bahawa perkhidmatan YB sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Pelabuhan Labuan (LP) ditamatkan berkuat kuasa 1 April 2010.

"Kementerian ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas khidmat bakti yang telah disumbangkan sepanjang tempoh perkhidmatan YB di Lembaga Pelabuhan Labuan," kata surat itu.

Kerajaan PH dibentuk selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 tetapi dalam masa kurang dari dua tahun, pentadbiran itu runtuh dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kekuasaan negara pada Februari 2020.

Kerajaan PN hasil ikatan kerjasama antara BN, PAS, Bersatu, GPS dan beberapa bekas pemimpin PKR.