Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penipuan dalam talian guna nama Yayasan Tony Fernandes

Yayasan Tony Fernandes tiada kaitan dengan AirAsia atau Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes, menurut syarikat penerbangan itu hari ini.

AirAsia memberi nasihat kepada orang ramai supaya berwaspada dengan penipuan dalam talian melalui laman sosial Facebook yang menawarkan peluang untuk membantu dalam projek sebagai pertukaran untuk mendapatkan keahlian dalam yayasan palsu itu dengan menggunakan nama Tony Fernandes.

Sayrikat itu, dalam kenyataan, memaklumkan ia tidak menubuhkan yayasan lain melainkan Yayasan AirAsia.

“Sebarang mesej daripada Tony Fernandes atau Mark Kelvin atau dihantar berkaitan dengan yayasan Tony Fernandes adalah satu penipuan,” katanya.

AirAsia menegaskan ia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang kononnya menggunakan jenama syarikat penerbangan itu untuk melakukan penipuan atau mencuri identiti syarikat itu.

AirAsia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan daripada penipuan tersebut yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat itu, katanya.

- Bernama