Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

UPM: Aplikasi diagnosis Covid-19 masih di peringkat pembangunan

Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan bahawa inovasi yang dipromosikan oleh pasukan penyelidiknya sebagai "aplikasi self-diagnoses Covid-19" masih dalam peringkat pembangunan dan pengujian.

Timbalan Naib Canselor UPM, Zulkifli Idrus berkata, maklumat mengenai aplikasi itu pada mulanya dikongsi oleh Putra Science Park UPM dalam bentuk infografik pada 7 April lalu.

"Beberapa inovasi tersebut telah disumbangkan kepada Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Hospital Pengajar UPM (HPUPM) dan beberapa entiti lain, dalam membantu memenuhi keperluan penting bagi petugas barisan hadapan.

"Namun begitu, ada di antara inovasi dan inisiatif yang dikeluarkan dalam infografik tersebut masih dalam peringkat pembangunan dan pengujian (seperti tertulis dalam poster tersebut)," katanya

Jelas Zulkifli lagi, inovasi yang masih dalam fasa pembangunan dan pengujian itu bukan sebagai pengganti kepada ujian RT-PCR yang merupakan piawaian utama dan ujian antibodi.

"Aplikasi tersebut adalah untuk tujuan pengawasan awal kesihatan dan bukan untuk tujuan diagnosis. Terdapat juga kesilapan pada nama aplikasi tersebut yang telah menimbulkan kekeliruan.

"Untuk makluman, penyelidikan ini masih lagi di peringkat awal proses pembangunan dan pengujian, serta memerlukan pengesahan dengan data klinikal.

Ia menggunakan data digital biomarker yang diproses menggunakan algoritma Artificial Intelligence (AI)," katanya.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, yang berkongsi antara terawal bekongsi infografik berkenaan mengucapkan tahniah kepada UPM, telah memadam slaid tertentu yang merujuk kepada aplikasi mudah alih berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Menurut pengumuman awal berhubung aplikasi itu, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi berkenaan, mengambil selfie dan mendapatkan hasil segera.

Promosi awal aplikasi itu mengundang kritikan pakar perubatan termasuk anggota pasukan petugas Covid-19 Selangor, Dr Christopher Lee.

"Selfie (swafoto) untuk mendiagnosis Covid-19? Wow!

"Jadi buat apa kita guna makmal kita untuk meningkatkan ujian? Rakan-rakan kita di makmal sangat terbeban," katanya di Twitter.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mengatakan bahawa makmal di seluruh Malaysia kini dapat menguji hingga 11,546 sampel sehari untuk Covid-19.