Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'MP dilantik ketuai GLC bagi pantau syarikat'

PAS mempertahan keputusan kerajaan melantik anggota Parlimen sebagai pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk berperanan sebagai wakil rakyat yang ‘memantau’ perjalanan syarikat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki, berkata ia menjadikan kerajaan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat kerana melantik pengerusi GLC dalam kalangan mereka yang dipilih oleh rakyat.

Apa yang penting katanya, barisan pengurusan dan pentadbiran GLC itu bukan dilantik dalam kalangan orang politik.

“Pandangan saya pendekatan yang dibuat kerajaan Pakatan Nasional (PN) ini memperlihatkan kerajaan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat kerana pengerusi GLC yang dilantik adalah mereka yang dipilih oleh rakyat.

“Peranan mereka adalah mewakili rakyat memantau perjalanan sesuatu GLC," katanya yang dipetik BH, hari ini.

Bagaimanapun katanya, urusan pengurusan dan pentadbiran GLC dilaksanakan oleh ketua pegawai eksekutif, pengarah atau pengurus besar yang seharusnya bukan dari pemimpin politik.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kesemua anggota parlimen kerajaan persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan agensi dan GLC.

Takiyuddin berkata, beliau difahamkan semua anggota parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab mengendalikan GLC.

"MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC," katanya kepada media di Kota Bharu.

Sementara itu, Zuhdi menambah bahawa pelantikan anggota parlimen sebagai pengerusi GLC memberi kelebihan untuk mereka menjawab persoalan isu berbangkit di parlimen.

“Sebelum ini, soalan berkaitan GLC jika ditanya di dalam Parlimen akan dijawab oleh menteri yang berkaitan dengan GLC terbabit.

“Selepas ini, parlimen mungkin boleh mewujudkan satu mekanisme supaya soalan berkaitan GLC tertentu dijawab secara langsung oleh pengerusi GLC yang juga anggota parlimen,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, perlu dibezakan antara badan membuat keputusan dalam sesuatu GLC dan badan yang mentadbir dan menguruskan GLC.

“Badan membuat keputusan GLC memang sesuai diberi kepada pihak pembuat dasar termasuk dalam kalangan ahli parlimen manakala badan yang mentadbir dan menguruskan GLC seharusnya diberi kepada bukan golongan politik," tambahnya lagi.