Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP kongsi rungutan sukar belajar di rumah dengan Internet sedia ada

KATA MP | Tidak dapat dinafikan bahawa, KKM dgn bantuan pihak industri telekomunikasi telah dan sedang berusaha mempastikan capaian Internet rakyat tidak terjejas sepanjang tempoh PKP termasuklah melalui peruntukkan Internet berkelajuan tinggi secara percuma dengan kuota satu gigabait (1GB) sehari, mulai 1 April sehingga tamat PKP.

Namum demikian, pelanjutan tempoh PKP yang akan memasuki fasa ketiga mulai 15 April, sudah pasti akan berlaku permintaan dan penggunaan data Internet yang melonjak tinggi ekoran kebanyakan urusan dan aktiviti kini berlaku atas talian.

Kita sedia maklum bahawa penggunaan Internet selama tempoh PKP ini bukan lagi suatu pilihan dan hanya mampu digunakan oleh golongan tertentu, tetapi ia sudah menjadi new normal dan keperluan untuk semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang berada di luar bandar untuk berkomunikasi dan mendapatkan informasi, malah melaksanakan transaksi.

Malah sepanjang PKP, ramai guru-guru yang menganjurkan kelas secara online namun ramai pejarar khususnya di luar bandar menghadapi kesukaran untuk menyertai kelas online kerana kekangan data mereka tidak mencukupi.

Sepanjang PKP ini, jangankan kemampuan untuk membeli data, kemampuan untuk membeli barangan makanan pun ada yang menghadapi kesukaran kerana ibubapa putus mata pencarian.

Pelajar dan guru di peringkat sekolah hinggalah ke IPT kini perlu mahir menggunakan dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atas talian sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, kebanyakan informasi sama ada melibatkan PKP, Covid-19 hinggalah kepada informasi berkaitan bantuan kepada rakyat kini lebih pantas, mudah dan meluas diakses secara atas talian melalui telefon bimbit sahaja.

Sebagai contoh, langkah yang telah saya ambil di Parlimen Sepanggar, Sabah sejak hari pertama PKP dilaksanakan, iaitu membangunkan sistem kajian dan bancian atas talian bagi mengetahui jumlah isi rumah semasa, agar bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan dengan sistematik, cepat dan mencapai sasarannya.

Data habis

Namun ramai yang merungut ketiadaan access data Internet dan ketidakmampuan membeli data daripada syarikat telekomunikasi mengakibatkan mereka tidak dapat mengetahui akan adanya kemudahan permohonan secara online ataupun tidak dapat mengakses sistem online tersebut kerana data telefon mereka telah habis.

Namun demikian, sepanjang misi bantuan rakyat Sepanggar tersebut, terdapat rungutan dari segi kesulitan mereka mengakses Internet untuk keperluan aktiviti harian di rumah, ini termasuklah kesulitan mengakses sistem informasi bantuan rakyat yang saya sebutkan di atas.

Ini disebabkan data Internet yang terhad atau sukar mendapatkan nilai tambah data Internet mereka.

Oleh yang demikian, saya memohon dan merayu agar semua syarikat telekomunikasi yang ada di negara ini sama-sama berganding bahu membantu kerajaan dan rakyat khususnya melalui inisiatif memberi akses tanpa had sepanjang tempoh PKP ini sahaja.

Ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka kepada semua pelanggan perkhidmatan mereka, iaitu lapisan masyarakat yang bukan sahaja berada di kawasan bandar dan perumahan, tetapi kepada semua rakyat termasuk perkampungan di luar bandar.

Semoga dengan adanya tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat-syarikat telekomunikasi negara melalui inisiatif ini, sedikit sebanyak mampu membantu pihak kerajaan dan rakyat khususnya dalam mengharungi tempoh krisis kesihatan global ini dan secara tidak langsung.

Ini juga bagi membantu kerajaan agar kempen, “Stay At Home” yang dikuatkuasakan oleh kerajaan berjaya kerana dengan data yang ada, rakyat boleh duduk di rumah dan melayari Internet dan mengakses setiap maklumat berkenaan usaha-usaha kerajaan dalam memerangi wabak ini dapat di sampaikan.

Mohd Azis Jamman ialah anggota parlimen Sepanggar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.