'Semua MP kerajaan akan dilantik ketuai GLC' - Menteri di JPM
Semua anggota parlimen kerajaan persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri akan dilantik mempengerusikan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata, beliau difahamkan semua anggota parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab mengendalikan GLC.
"MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.
"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC.
"Kerana mereka semua ini layak, mereka ini adalah ahli parlimen," katanya kepada media ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat pengagihan peruntukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada anggota-anggota Parlimen negeri Kelantan.
Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelantikan politik khususnya pimpinan PAS ke sebarang agensi kerajaan persekutuan.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan antaranya, anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.
Sementara itu Takiyuddin berkata, secara umumnya setiap jawatan itu bergantung kepada undang-undang mengikut kementerian masing-masing.
Katanya, ada agensi atau GLC yang mana pengerusinya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong dan ada lantikan yang dibuat oleh menteri berkaitan.
"Secara umumnya ada agensi atau GLC yang pengerusinya dilantik oleh Yang-Di-pertuan Agong, ada yang dilantik oleh menteri yang bertanggungjawab apabila GLC tersebut di bawah kementeriannya.
"Tapi untuk penyelarasan, semua cadangan lantikan pengerusi GLC mesti mendapat persetujuan daripada perdana menteri," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai