Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WHO siasat laporan bekas pesakit kembali positif Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat laporan beberapa pesakit Covid-19 diuji positif selepas pada awalnya didapati negatif.

Pegawai Korea Selatan pada Jumaat melaporkan 91 pesakit yang didapati bebas daripada koronavirus diuji kembali positif selepas itu.

Jeong Eun-kyeong, pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, memberitahu dalam taklimat bahawa virus itu mungkin "diaktifkan semula", berbanding 'dijangkiti semula'.

"Kami menyedari laporan ini mengenai individu-individu yang diuji negatif Covid-19 menggunakan ujian PCR (polymerase chain reaction) tetapi kembali positif selepas beberapa hari," kata WHO yang berpusat di Geneva, seperti dilapor Reuters.

"Kami bekerja rapat dengan pakar klinikal kami dan bekerja keras untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes individu tersebut. Adalah penting untuk memastikan apabila sampel dikumpulkan untuk ujian terhadap pesakit yang disyaki, prosedur diikuti dengan betul, " katanya.

Menurut garis panduan WHO, seseorang pesakit boleh dikeluarkan dari hospital selepas dua keputusan negatif berturut-turut secara klinikal sekurang-kurangnya dalam masa 24 jam.

Berdasarkan kajian semasa, terdapat jangka masa sekitar dua minggu antara permulaan simptom dan pemulihan bagi pesakit Covid-19 yang tidak kritikal atau ringan, kata agensi itu.

"Kami menyedari bahawa sesetengah pesakit adalah positif (dalam ujian) PCR selepas mereka pulih secara klinikal, tetapi kami memerlukan pengumpulan sampel sistematik dari pesakit yang pulih untuk lebih memahami berapa lama virus itu bertahan," katanya.

Pegawai Kesihatan Korea Selatan pada Jumaat berkata masih tidak jelas berdasarkan trend yang berlaku dan siasatan masih dijalankan.

"Covid-19 adalah penyakit baru, kita memerlukan lebih banyak data epidemiologi untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai profil penyusutan virus," kata WHO.

Jumlah kematian yang dikaitkan dengan koronavirus mencapai 100,000 pada hari Jumaat, dan jumlah kes yang dilaporkan melepasi 1.6 juta, menurut Reuters.