Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Selangor mula saring rumah ke rumah

Kerajaan Selangor hari ini memulakan saringan besar-besaran Covid-19 dari rumah ke rumah.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata usaha melakukan saringan besar-besaran itu dibuat bagi memutuskan rantaian wabak itu di negeri berkenaan.

“Hasil daripada kajian itu kita akan tengok sama ada perbelanjaan kita bersesuaian atau susun semula tindakan,” katanya, lapor Selangorkini.

Kata Amirudin, saringan pada hari ini dijangka melibatkan 500 saringan, manakala lokasi saringan dan keputusannya dijangka diketahui palig awal dalam tempoh 24 jam.

Setakat hari ini, Selangor mencatat kes positif tertinggi di Malaysia dengan 1,183 kes dan 10 kematian.

Pasukan Petugas untuk Covid-19 Selangor (Selangor Taskforce for Covid-19- STFC) turut berkongsi hal itu di Twitter, dengan memaklumkan ujian itu diadakan di Hulu Langat.

“Satu saringan komuniti (rumah ke rumah) terbesar pertama Malaysia diusahakan bagi mengenal pasti jangkitan Covid-19 di hot spot, Hulu Langat.

“Ini menepati strategi yang disaran World of Health Organization iaitu, ‘Test, test, test’,” kata STFC dalam ciapan di Twitter.