Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Waktu niaga restoran ketika Ramadan dicadang 3 petang ke 3 pagi

Kerajaan digesa mempertimbangkan menukar waktu operasi kedai makan semasa bulan Ramadan.

Penasihat Kehormat Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) Baisul Khan Salman Faris dipetik Utusan Borneo berkata ini bagi membolehkan umat Islam menyediakan sajian sahur dan berbuka puasa.

"Namun, apabila tiba bulan Ramadan kelak, tentu sekali waktu operasi itu kurang sesuai terutama sekali kepada peniaga restoran muslim.

"Oleh itu, pihak DPPIMS berpendapat, kerajaan perlu menilai semula waktu perniagaan berkenaan," katanya.

Menurut Baisul Khan pelanggan beragama Islam perlu mendapatkan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur.

"Oleh itu, waktu perniagaan restoran yang sesuai ialah bermula pada jam 3 petang sehingga 3 pagi," jelasnya.

Beberapa restoran di kawasan tertentu juga, kata Baisul perlu diberi pilihan untuk membuka restoran daripada jam 6 pagi hingga 3 pagi bagi memberi kemudahan dan pilihan kepada pelanggan bukan beragama Islam.

"Ramai pelanggan meminta kami memanjangkan waktu perniagaan sejak tempoh had masa yang dibuat oleh kerajaan negeri yang dihadkan kepada 6 petang kerana pelanggan sukar mendapatkan makanan untuk makan malam.

"Tidak semua rakyat mampu memasak sendiri di rumah dan kadang kala mereka mengalami kekurangan bahan mentah dan mencari restoran untuk memesan makanan.

"Malah, peniaga restoran menerima banyak panggilan pada waktu awal malam daripada pelanggan untuk meminta kami menyediakan apa-apa makanan, asal boleh menghilangkan lapar," katanya.

Ramadan dijangka bermula pada 23 April, bermakna perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengenakan sekatan terhadap waktu operasi perniagaan akan diteruskan dalam bulan umat Islam menunaikan ibadah puasa itu.

Setakat ini, beberapa kerajaan negeri telah melarang bazar Ramadan bagi mengelakkan orang ramai berkumpul, dengan ramai peniaga telah menyatakan akan beralih ke platform perniagaan atas talian.

Sementara itu, Baisul Khan berkata pihak DPPIMS juga akan memastikan semua restoran yang menjadi ahli mereka sentiasa memastikan tahap jarak sosial dipatuhi semasa pelanggan membeli makanan di restoran berkenaan.

"Kita merayu kepada kerajaan untuk memastikan waktu perniagaan restoran disesuaikan dengan keadaan dan permintaan," katanya.