Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

K'jaan dirayu sedia pengangkutan pelajar balik kampung Aidilfitri

Beberapa persatuan pelajar Malaysia merayu kepada kerajaan agar dapat menyediakan pengangkutan khas kepada pelajar untuk pulang dari universiti ke kampung halaman masing-masing sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Bagaimanapun, menurut persatuan itu, setiap pelajar yang tinggal di kampus hendaklah menjalani ujian tapisan Covid-19 sebelum proses pulang ke kampung dan bagi mereka yang didapati positif Covid-19 perlu menjalani kuarantin dan tidak dibenarkan pulang.

“Meskipun mereka telah tinggal lebih daripada 14 hari di kampus, adalah lebih baik bagi kita mengambil langkah perlu bagi mengelakkan sebarang risiko.

“Kami mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan kerjasama universiti dan kerajaan negeri menyumbang separuh subsidi bagi kos pengangkutan namun adalah lebih baik lagi jika kos pengangkutan ditanggung sepenuhnya tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh 15 persatuan pelajar termasuk Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan Persatuan Belia Harmoni Malaysia (Harmoni).

Sementara itu, persatuan berkenaan juga menggesa para pelajar agar bertenang susulan perkembangan terbaharu Covid-19.

“Pelajar dinasihati agar terus mematuhi semua garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” menurut kenyataan itu.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.