Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Laporan: K'jaan beri kelonggaran pada pengeluar sarung tangan

Kerajaan Malaysia memberi kelonggaran kepada pengeluar sarung tangan getah untuk membolehkan mereka beroperasi sepenuhnya bagi memenuhi permintaan global.

Menurut laporan oleh Voice of America (VOA), Malaysia Rubber Glove Manufacturers Association (Margma) memaklumkan kepada ahli-ahlinya pada 27 Mac bahawa kilang-kilang sarung tangan boleh kembali beroperasi mulai 1 April.

Ini berikutan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Laporan itu berkata syarikat berkenaan perlu mendapatkan pengecualian daripada sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mana pengeluar pada masa ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga 50 peratus daripada tenaga kerja mereka.

Syarikat berkenaan juga perlu menyediakan senarai pekerja yang lengkap dan mematuhi syarat ketat yang ditetapkan terutamanya membabitkan prosedur operasi standard Covid-19.

"Saya hendak katakan bahawa kerajaan telah memberi kami peluang untuk bekerja dengan seoptimum mungkin dan dengan itu kami akan dapat membekalkan 225 bilion sarung tangan yang kami fikir dunia amat memerlukannya dalam tahun ini," kata Presiden Margma, Denis Low.

Tidak dapat dipastikan apakah langkah ini berkaitan lobi dari negara luar agar Malaysia, selaku pengeluar getah terbesar di dunia meningkatkan pengeluaran.  

Menurut laporan berkenaan, Kesatuan Eropah (EU) telah menulis surat kepada kerajaan Malaysia untuk mengesyorkan "penyelesaian kreatif" dan "pengeluaran 24 jam sehari" oleh pembuat sarung tangan getah di negara ini.

Duta EU ke Malaysia Maria Castillo Fernandez memberitahu VOA bahawa beliau menyambut baik keputusan Putrajaya untuk melonggarkan sekatan.

"Kami menyokong keputusan kerajaan Malaysia membenarkan pengeluar barangan keperluan dan rantaian bekalan mereka terlibat dalam pengeluaran peralatan perubatan penting untuk beroperasi pada kapasiti yang diperlukan bagi memenuhi permintaan global yang mendesak untuk bekalan perubatan ini"

"Malaysia adalah pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia, dan oleh itu memainkan peranan penting dalam menyumbang untuk mengelakkan kekurangan peralatan perubatan penting ini, untuk Malaysia, untuk EU dan untuk seluruh dunia," katanya.

Sebelum ini, Margma berkata pengurangan tenaga kerja sehingga 50 peratus akan menyebabkan kekurangan sarung tangan di seluruh dunia ketika kebanyakan negara bergelut memerangi wabak Covid-19.

Pengeluar sarung tangun juga merungut bahawa PKP menyebabkan penutupan kilang pengeluar kotak kadbod, yang menyukarkan ahli-ahli Margma membungkus dan menghantar keluar produk mereka.