Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri: Tindakan terhadap pihak sebar video dakwa CIQ di JB dirempuh

Pihak berkuasa telah mengenal pasti pihak yang menyebarkan rakaman video yang didakwa menggambarkan orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru semalam.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak berkuasa melihat perkara itu secara serius kerana ia telah menyebabkan kebimbangan awam, terutama di kalangan penduduk Johor Bahru.

"Tidak ada siapa yang dikecualikan. Tidak ada siapa lebih tinggi daripada undang-undang.

"Sesiapa yang terlibat dalam kes berita palsu, (tindakan akan diambil) walau apa kedudukan mereka sekalipun," katanya yang merupakan menteri kanan untuk kluster keselamatan.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud menjelaskan bahawa video itu sebenarnya berkenaan latihan kebakaran yang dijalankan di CIQ pada 18 Disember 2019.

Malam tadi, video itu telah dimuat naik di laman Facebook Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, sebelum diturunkan tidak lama kemudian.

Kapsyen yang hantaran itu menyebut tentang sejumlah warga Malaysia cuba mauk ke negara dan menyebabkan keadaan tidak terkawal.

Selepas video itu diturunkan, laman Facebook Fuziah menyatakan permohonan maaf oleh "pentadbir" laman kerana memuat naik satu rakaman video lama.

 Ismail berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membuka 207 kertas siasatan berita palsu berhubung wabak Covid-19.

Daripada angka ini, 23 orang telah didakwa atas tuduhan menyebarkan berita palsu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata pada masa ini terdapat 10,328 warga Malaysia sedang menjalani kuarantin mandatori selepas pulang dari luar negara.

Katanya lagi, bilangan pusat kuarantin telah ditambah kepada 146, lebih tiga daripada semalam.

Sejumlah 666 individu ditangkap kerana kesalahan berkaitan PKP semalam, dan 392 daripadanya telah dikenakan denda RM1,000.

Sehingga semalam, jumlah yang ditangkap untuk kesalahan berkaitan PKP adalah 7,479 orang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.