Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Kesihatan lebih berharga' - bekas menteri cadang PKP dilanjutkan

Meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan, bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid berpendapat perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijadual berakhir 14 April ini, wajar diteruskan.

Beliau berkata cadangan itu selepas melihat laporan harian wabak Covid-19 yang disampaikan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Saya merasakan PKP perlu diteruskan sehingga negara benar-benar bebas daripada virus ini. Kesihatan rakyat lebih utama dan berharga.

"Kerajaan wajar mengkaji kesan penamatan perintah berkurung di Wuhan dalam tempoh dua minggu akan datang. Ia boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam mebuat keputusan berkenaan pelaksanaan PKP yang seterusnya," katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual menyampaikan perutusan khas berkenaan PKP pada pukul empat petang nanti.

Ia selepas mendapat penjelasan mengenai status pandemik Covid-19 dari Kementerian Kesihatan, seperti yang diberitahu Noor Hisham semalam.

Mahdzir yang juga naib presiden Umno turut memberi beberapa cadangan inisiatif yang boleh dilakukan kerajaan jika PKP dilanjutkan.

Dalam soal pendidikan rendah dan menangah, beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu menggalakkan sesi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

“Penggunaan platfom yang interaktif mampu merangsang minat guru dan pelajar untuk meneruskan sukatan pelajaran sedia ada. Cara ini juga boleh menghalang pelajar daripada tepu setelah lama terperap di rumah.

“Slot pendidikan yang disediakan di saluran RTM sekarang juga boleh dipanjangkan tempohnya selain memperluaskan lagi ke saluran-saluran swasta dan berbayar,” katanya, sambil menambah universiti juga boleh membuat kuliah dalam talian agar sukatan pelajaran boleh dihabiskan mengikut jadual.

'Perkasa sektor R&D'

Sementara itu, Mahdzir juga mencadangkan agar universiti berasaskan penyelidikan di Malaysia untuk memperkasa sektor kajian dan penyelidikan (R&D)

“Kumpulan R&D juga boleh menjalankan kajian untuk mencari vaksin virus ini. Mana tahu mungkin vaksin Covid-19 datangnya dari makmal kita?

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kerajaan mesti menyediakan geran penyelidikan dengan nilai yang wajar kepada universiti-universiti ini untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Berhubung perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menerima kesan ekoran pelaksanaan PKP, beliau mencadangkan kerajaan melancarkan inisatif khusus agar perniagaan boleh beroperasi semula meskipun ketika tempoh PKP.

“Sampai bila Kerajaan mampu menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit?

“Platfom perniagaan dalam talian juga boleh diperluas untuk diperkenal dan digunakan oleh mereka atau dengan kata lain, implementasi teknologi jalur lebar 5G perlu disegerakan oleh penyedia perkhidmatan,” katanya lagi.

Pada 19 Mac lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM3.3 bilion di bawah Tabung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, bagi membantu PKS yang terjejas ekoran wabak Covid-19.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Setakat tengah hari semalam, bilangan mereka yang dijangkiti wabak itu mencecah 4,228 orang dengan 67 kematian.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.