Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Di tengah isu kekurangan PPE, doktor berterima kasih pada sukarelawan

Seorang doktor berkongsi kisah bagaimana petugas barisan hadapan menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang dihasilkan oleh sukarelawan menggunakan bahan yang didermakan.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur Dr Herric Corray juga pernah dilihat membantu menyediakan pakaian perlindungan berkenaan.

Dalam siri tulisan di Twitter malam tadi, seorang doktor yang menggunakan akaun Twitter "Azman Rocks" berkongsi gambar kakitangan perubatan memakai PPE tersebut.

"Setiap PPE yang anda lihat dalam gambar ini (kecuali topeng muka) dibuat menggunakan fabrik bukan tenunan yang didermakan dan dibuat oleh sukarelawan.

"Sesungguhnya berbahagia dan berbanggalah hidup di kalangan orang yang amalnya dekat di hati mereka. Terima kasih,"katanya.

Azman menjelaskan fabrik yang panjangnya sejauh 6km itu didermakan oleh sebuah pengeluar fabrik kepada sukarelawan untuk dijadikan 1500 set PPE.

Ia termasuk pakaian perlindungan, sarung tangan, sarung kasut dan perisai muka.

"6km dengarnya banyak tapi diterjemahkan kepada 1,500 set PPE. Itu hanya bertahan (di jabatan kecemasan sahaja) kira-kira 10 hari, "katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata Malaysia tidak perlu mengimport PPE buat masa ini susulan sumbangan daripada masyarakat meskipun permintaannya meningkat sehingga tiga kali ganda.

"Setakat ini kita tidak berdepan kekurangan PPE kerana ramai telah mendermakannya. Kita juga tidak berharap untuk mengimport sebarang PPE," katanya.

Ini selepas Dr Musa Nordin dari Hospital Pakar KPJ Damansara berkata kakitangan perubatan kehabisan kit PPE dan menghadapi risiko terdedah dengan jangkitan Covid-19.