Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Laporan askar pakai topi keledar elak air kencing tak benar'

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang menafikan dakwaan bahawa anggota tentera yang terlibat melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi kediaman di Kuala Lumpur terpaksa memakai topi keledar bagi mengelakkan daripada terkena simbahan air kencing warga asing.

Beliau dipetik oleh Bernama sebagai berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak benar sambil menambah ATM tidak pernah mengeluarkan arahan untuk anggotanya berbuat demikian.

“Tidak ada perkara sedemikian (anggota tentera memakai helmet (topi keledar) elak air kencing warga asing ketika bertugas).

“Pihak ATM hanya memakai helmet (topi keledar) untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala di tempat lain adalah seperti biasa,” katanya hari ini.

Hari ini tular di media sosial mendakwa anggota ATM yang berkawal  memakai topi keledar untuk mengelak air kencing warga asing dari tingkat atas bangunan itu.

Akhbar Sinar Harian turut melaporkan warga asing menunjukkan protes dengan larangan ke atas mereka untuk keluar dan masuk ke bangunan itu dengan melempar barangan dari tingkat atas.

Memetik sumber, laporan itu berkaya, bukan sekadar sampah, petugas itu berdepan dengan balingan bungkusan plastik berisi air kencing.

Mereka terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa berdepan situasi itu ketika melakukan kawalan selama 24 jam di kawasan berkenaan.

"Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret.

"Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana," kata sumber yang dipetik akhbar itu.

Tiga bangunan yang dikenakan PKPD itu adalah Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah bermula 31 Mac lalu manakala bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India pula dikuatkuasakan sejak Selasa lalu.

Menurut Sinar Harian, adalah difahamkan protes berkenaan juga berkaitan kesukaran mendapatkan bantuan makanan.

Walau bagaimanapun, semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, kementeriannya akan membekalkan makanan tengah hari dan makan malam sepanjang 14 hari PKPD kepada 1,850 penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion.