Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pekerja pembinaan cerita pengalaman tinggalkan S'pura

KORONAVIRUS | Seorang warga Malaysia yang bekerja di Singapura berkongsi pengalaman dilaluinya sebelum republik itu melaksanakan tindakan pencegahan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 mulai 7 April lalu.

Mustaffa Marni, seorang pekerja di tapak binaan berkata, sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa satu dan dua di Malaysia, dia masih bekerja seperti biasa di Singapura.

“Cuma kami diminta untuk membuat penjarakan sosial ketika bekerja, menjaga kebersihan dan keselamatan diri," katanya.

Di negara itu, kata Mustaffa, keadaan agak berbeza apabila mereka masih boleh bekerja dan menjalankan kegiatan harian seperti biasa, sehinggalah kerajaan mengumumkan langkah tegas bagi menghadapi Covid-19.

“Selepas pengumuman dibuat, saya dan beberapa rakan memilih untuk pulang ke Malaysia sebelum berlaku kawalan yang lebih ketat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 3 April lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, menggariskan beberapa peraturan bagi tujuan memutuskan penularan wabak Covid-19 berkuat kuasa mulai 7 April.

Dengan peraturan baru itu hanya perkhidmatan dianggap penting oleh kerajaan saja boleh beroperasi, manakala sekolah akan melaksanakan sepenuhnya pembelajaran dari rumah.

Perintah itu berlangsung selama sebulan hingga 4 Mei.

Sementara itu, Mustaffa menyeberang Selat Tebrau untuk pulang ke tanah air selepas membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di republik itu pada 6 April.

“Saya melakukan ujian saringan Covid-19 di sebuah klinik di Singapura atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan surat kebenaran untuk melepasi sempadan negara.

“Saya perlu membayar sebanyak S$40 dolar (RM122) untuk menjalani pemeriksaan suhu badan, nafas dan keadaan tekak,” jelasnya.

Mustaffa turut berkata satu pemeriksaan turut dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar, Bukit Chagar.

“Selepas pemeriksaan tersebut, saya dibenarkan pulang ke rumah dan perlu kuarantin sendiri selama 14 hari.

“Pihak KKM juga akan datang ke rumah pada bila-bila masa untuk mengetahui keadaan semasa kesihatan saya," katanya.

Untuk rekod, kira-kira 400,000 orang memasuki Singapura menerusi KIK dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Gelang Patah setiap hari untuk bekerja.

Separuh daripada jumlah itu adalah warganegara Malaysia yang bekerja di republik berkenaan.