Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Inisiatif k’jaan perlu bersasar, bukan pukul rata - Umno

ULASAN l Pada awal-awal para pengamal politik memberi komentar perlunya tindakan tangkas berhubung ekonomi negara lantaran krisis #Covid19, timbul juga pertimbangan untuk kita "jangan buat rakyat panik".

Saya juga cuba berpada-pada dalam komentar, meskipun segala telaahan memberi isyarat kita di permulaan krisis ekonomi yang serius.

Saya ulangi, saya tetap berharap dalam hal ini, kekhuatiran saya tersasar dan kita berjaya mengelak terjerumus ke kancah kemelesetan yang paling mendalam dalam berdekad-dekad.

Tetapi gagal merancang bermakna merancang untuk gagal. Kebarangkalian kemelesetan tetap tinggi.

Merancang dalam konteks ini perlu mengambil kira hakikat bahawa seperti lazim, ada kelompok yang akan terkesan lebih daripada kelompok lain. Pendek kata, yang akan risiko sengsara adalah B40, mereka yang bekerja gaji harian, penjaja kecil, pekerja sambilan "freelancer".

Kerajaan perlu menyesuaikan tindakan berasaskan data. Maka segala inisiatif perlu bersasar kepada golongan yang memerlukan lebih daripada yang lain. Adakalanya ia mungkin tidak popular berbanding pendekatan "pukul rata" tapi hakikatnya inilah pendekatan yang adil.

Dapatan pungutan suara Jabatan Perangkaan Malaysia memberi gambaran yang lebih khusus.

• Contoh, lebih 70 peratus daripada responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi kurang daripada 1 bulan sahaja. Berbanding 83 peratus pekerja swasta pula mempunyai simpanan sehingga 2 bulan. 79 peratus pekerja GLC dan 75 peratus pekerja MNC mempunyai simpanan sehingga 4 bulan.

Bermakna apa? Golongan yang bekerja sendiri perlu jadi perhatian pertama kerajaan.

• Kedua, 47 peratus golongan yang bekerja sendiri sudah melaporkan hilang pekerjaan sepenuhnya. Ini statistik yang amat mengejutkan. Mungkin ada yang akan pertikai kesahihan data kerana ini adalah pungutan suara atau survei, tetapi andaikata angka sebenar menghampiri 40 peratus pun, ia sudah cukup merisaukan. Bayangkan berapa ramai isi rumah yang terkesan jika hampir separuh dari kelompok yang sekitar 25 peratus tenaga buruh Malaysia, tiada pendapatan?

Kedudukan mereka yang bekerja dalam sektor swasta juga tidak jauh lebih selesa. Lebih 20 peratus sama ada sudah hilang kerja, diminta cuti tanpa gaji, atau separuh gaji.

Sekali lagi, bandingkan dengan data golongan yang bekerja di GLC atau syarikat antarabangsa hanya 0.4 peratus yang setakat ini hilang kerja. Yang cuti tanpa gaji setakat ini masih rendah - hanya 1-2 peratus.

• Kerajaan juga perlu fokus kepada sektor-sektor tertentu lebih dari sektor lain. Selama ini logik akal mengatakan bahawa sektor pelancongan yang paling terkesan. Mungkin itu tetap benar. Tetapi dengan pungutan suara Jabatan Perangkaan yang sama, kita dapat kaji pengkhususan lebih mendalam.

Kajian mendapati sektor Pertanian dan Perkhidmatan didapati mencatatkan peratusan kehilangan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding sektor lain, masing-masing 22 peratus dan 15 peratus. Di kalangan sektor pertanian, pekerja di sub sektor perikanan dan pertanian & perladangan masing-masing kehilangan pekerjaan sebanyak 33 peratus dan 21 peratus.

Pembaca boleh tafsir sendiri majoriti yang bekerja di sektor perikanan, perladangan ini terdiri dari kelompok mana?

Kerajaan sudah membuat permulaan baik dengan pakej Prihatin dan Prihatin Tambahan. Saya ulangi, ia adalah pakej jangka pendek yang terpaksa disegerakan untuk memastikan tiada yang "lemas" dalam kejutan mendadak ini.

Bermakna kerajaan sekarang sudah ada masa sedikit - masa untuk kaji data setiap waktu dan merangka langkah seterusnya. Contoh, jika PKP terpaksa dilanjutkan, kerajaan sudah ada data menggambarkan golongan mana yang mesti diberi perhatian segera.

Kerajaan sudah mula ada data, sektor mana yang perlu perhatian lebih jika ekonomi kekal suram selepas PKP.

Semoga langkah seterusnya lebih bersasar, dan semoga kerajaan tidak terperangkap dalam "fobia" defisit. Utama sekali, semoga barisan hadapan kita sentiasa diberi sokongan sepenuhnya untuk menang dalam peperangan kita melawan Covid-19, insya Allah.


SHAHRIL SUFIAN HAMDAN adalah ketua penerangan Umno dan juga timbalan ketua Pemuda Umno.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.