Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jualan Proton naik 20.4 peratus dalam suku pertama

Proton Holdings Bhd mencatatkan kenaikan 20.4 peratus dalam jualan suku pertama 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan berkata 21,757 unit telah dijual dalam tiga bulan pertama tahun ini, meningkatkan bahagian pasarannya daripada 17.4 peratus kepada 20.1 peratus berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV).

Sebagai perbandingan kepada suku pertama 2019, jualan paling laku Proton iaitu Saga, menunjukkan kenaikan 36 peratus dengan jumlah jualan sebanyak 8,824 unit, manakala jualan untuk Iriz bertambah 602 peratus atau 2,009 unit.

“Pada masa yang sama, Persona mencatatkan keuntungan 243 peratus dengan 5,677 unit dan Exora menokok 17 peratus kepada 1,091 unit.

"Bagi Proton X70, walaupun mencatatkan penurunan 48 peratus dengan jumlah keseluruhan 4,145 unit dijual, ia masih menjadi SUV dengan jualan yang terbaik dalam suku pertama di Malaysia

Untuk Mac, Proton telah menjual sejumlah 3,277 unit, penurunan sebanyak 41 peratus dari bulan yang sama pada 2019 dan penyusutan 67 peratus dari Februari 2020.

Syarikat itu berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan semua cawangan jualan ditutup sejak 18 Mac dan ianya dijangka akan menjejaskan jualan kereta secara drastik pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Li Chunrong berkata, walaupun prestasi pada Januari dan Februari sangat kukuh dan melangkaui pencapaian 2019, momentum Proton adalah sangat perlahan disebabkan oleh PKP.

"Bagaimanapun, keselamatan Malaysia dan rakyatnya adalah jauh lebih penting daripada kepentingan komersial, jadi kami menyokong kerajaan mengenai langkah-langkah yang diambil," katanya lagi.

Bercakap mengenai masa depan, ia melihat 2020 sebagai tahun yang sangat mencabar memandangkan impak COVID-19, khususnya selepas berakhir PKP akan memacu perniagaan di dalam persekitaran yang samar-samar.

Buat masa ini, Proton terus beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minimal, ada juga kakitangan yang terpaksa bekerja dari rumah, sebagai pematuhan kepada kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Kami menggunakan masa ini untuk merangka strategi dan merancang haluan kami seterusnya. Cabaran adalah sesuatu yang kami terima," kata Li.

"Melihat kepada peningkatan kami dalam tempoh dua tahun lepas, saya yakin Proton mampu mengatasi krisis ini kerana kami tetap fokus pada matlamat jangka panjang kami," tambah Li lagi.

-Bernama