Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

66 warga PDRM positif Covid-19, lebih 1,000 dikuarantin

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 66 warganya positif Covid-19 sehingga kini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sehingga semalam seramai 1,225 warga PDRM telah dikuarantin di kediaman masing-masing.

"Keseluruhan yang positif Covid-19 ialah seramai 66.

"Sementara yang dikuarantin melibatkan 155 pegawai kanan polis, 654 pegawai rendah polis, 35 pegawai awam dan 381 kontak rapat iaitu ahli," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 5 April lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memaklumkan seorang anggota polis meninggal dunia akibat wabak Covid-19.

Sementara itu, PDRM hari ini memaklumkan menerima surat peringatan daripada Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) meminta agensi kerajaan berhati-hati dengan serangan siber dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata surat pemakluman itu mengingatkan seluruh agensi kerajaan untuk tidak menggunakan aplikasi Zoom.

Bagamainapun katanya, agensi kerajaan tidak menggunakaan aplikasi itu bagi tujuan sidang yang boleh dimuat turun secara percuma.

“Setakat ini, kita tidak membuat tele sidang menggunakan aplikasi Zoom ini.

“Saya difahamkan, aplikasi ini popular untuk kelas-kelas dalam talian,” katanya.