Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

23 daerah kini zon merah, terbaru Kota Samarahan, Sepang

KORONAVIRUS l Kota Samarahan, Sarawak dan Sepang, Selangor kini dikategorikan sebagai kawasan zon merah susulan penularan pandemik Covid-19.

Kota Samarahan adalah daerah kedua di Sarawak dikategorikan sebagai zon merah selepas Kuching.

Sementara itu, Sepang menjadi dearah kelima di Selangor dikategorikan sebagai zon merah selepas merekodkan lebih daripada 40 kes positif Covid-19.

Sehingga tengah malam semalam, 23 daerah telah diisytiharkan sebagai zon merah. Sesebuah kawasan itu dikategorikan sebagai zon merah apabila ia mencatatkan lebih 40 kes.

Zon jingga pula meliputi 20 hingga 40 kes, zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Sehingga tengah hari semalam, Kota Samarahan mencatatkan 42 kes positif Covid-19 manakala 182 kes lagi dilaporkan di Kuching, Sarawak.

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah adalah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor) serta Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan).

Wilayah Persekutuan Putrajaya; Hilir Perak dan Kinta (Perak); Jasin (Melaka), Kota Bharu (Kelantan); Jerantut (Pahang); Tawau (Sabah); dan Kuching (Sarawak).

Sementara itu, Lembah Pantai mencatatkan kawasan tertinggi positif Covid-19 iaitu sebanyak 412 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatat 345 dan 306 kes positif Covid-19.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan persidangan gereja di Kuching, Sarawak antara beberapa kluster terbaru Covid-19 di negara ini.

Persidangan gereja selama tiga hari yang digelar sebagai Good News Fellowship di Kuching, Sarawak, yang berlangsung dari 26 Feb dan 28 Feb, telah membawa kepada 83 kes yang disahkan dengan dua kematian dan lima lagi dalam keadaan kritikal.

Katanya, satu lagi kluster yang dikesan di Sarawak, dikaitkan dengan Kes 1,580 yang kembali dari Itali pada bulan lalu yang telah menyebabkan 37 kes positif setakat ini.

Kluster berkenaan telah mengakibatkan lima kematian daripada satu keluarga, selepas rakan sekerja salah seorang daripada mereka gagal melakukan kuarantin diri selepas kembali ke Malaysia.

Ahad lalu, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata lima anggota kabinet negeri itu, termasuk dua timbalan ketua menteri, telah diarahkan untuk menjalani kuarantin diri sendiri di rumah masing-masing.

Anggota Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang juga dilaporkan positif untuk Covid-19 manakala MP Kuching Kelvin Yii telah pulih.

Manakala wakil rakyat negeri itu yang diuji positif setakat ini adalah Ahli Parlimen Sarikei Andrew Wong dan Menteri Muda Pengangkutan Negeri Jerip Susil, yang juga Adun Mambong.

[Baca berita penuh]

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Malaysia mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara dijangkiti pandemik Covid-19 di dunia, apabila negara menghuni tangga ke-30 semalam dengan 3,963 kes positif dan 63 kematian.

Berdasarkan statistik itu, kedudukan terbaharu itu menunjukkan perkembangan positif berbanding kedudukan pada 6 April, iaitu di tangga ke-29.

Negara jiran, Filipina di tangga ke-34 (3,660 kes), Indonesia (2,491 kes) dan Thailand (2,258 kes) pula masing-masing berada di kedudukan ke-38 dan ke-41, manakala Singapura (1,309) di tangga ke-54 senarai itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat dengan 368,449 kes dan Sepanyol (136,675 kes) masing-masing berada di kedudukan teratas dengan jumlah paling ramai dan kedua dunia, diikuti Itali di kedudukan ketiga dengan 132,547 kes.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 seluruh dunia dilaporkan sebanyak 1,351,011 kes, yang melibatkan 285,517 kes sembuh manakala 74,871 kematian.