Pengusaha PKS bumiputera perlu tumpuan lebih - BRO
Meskipun menyifatkan Pakej Prihatin PKS (perusahaan kecil dan sederhana) yang diumumkan perdana menteri semalam sebagai pakej “cemerlang”, ada perkara yang boleh diperhalusi lagi, contohnya bantuan khusus untuk pengusaha bumiputera.
Menurut Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Ameer Ali Mydin, sekarang merupakan “masa tepat” untuk memberikan tumpuan lebih kepada pengusaha bumiputera memandangkan mereka segmen “paling lemah” dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Kita (perlu bantu) semua rakyat Malaysia. Betul. Tapi kita juga mesti sentiasa beri tumpuan kepada segmen paling lemah. Yang paling lemah sudah tentu bumiputera,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Beliau ditanya tentang perkara yang mungkin terlepas pandang oleh kerajaan dalam pengumuman pakej bernilai RM10 bilion yang khusus untuk membantu pengusaha PKS.
Beliau sebelum itu menyifatkan pakej itu sebagai “cemerlang” dengan mengambil kira keterhadan sumber yang dialami kerajaan kini, kerana ia menangani isu-isu yang tepat buat masa sekarang.
Dalam pengumuman semalam, kerajaan mewujudkan Geran Khas Prihatin buat PKS mikro yang layak, berjumlah RM3,000 untuk setiap syarikat mikro, merangkumi peruntukan RM2.1 bilion untuk hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.
Kata Ameer, meskipun ramai pengusaha kecil bumiputera akan mendapat manfaat daripada pakej berkenaan, namun ada pengusaha yang lebih besar tidak layak untuk mendapat bantuan dalam pakej berkenaan.
Bimbang ekuiti bumiputera merosot
Malah, sekiranya tiada usaha khusus untuk membantu mereka, Ameer membayangkan ekuiti korporat bumiputera akan menyusut, sehingga mungkin mencecah 10 peratus sahaja, selepas berdekad-dekad masa diambil untuk golongan itu mencapai status pemilikan sekarang.
“Saya takut tu saja (penurunan ekuiti). Jadi kalau kerajaan tak ambil tindakan sekarang, kita mungkin akan kembali ke takuk yang lama (back to square one). Ia tak bagus untuk negara,” katanya.
Untuk rekod, ekuiti bumiputera dilaporkan berada pada 23 peratus pada tahun 2011, namun menurun ke tahap 16 peratus pada 2015.
Kata Ameer, peruntukan khusus untuk pengusaha bumiputera itu mungkin boleh disalurkan kerajaan melalui pakej rangsangan seterusnya oleh kerajaan.
Tambahnya, bagi mengelakkan salah guna, kerajaan boleh menyalurkan peruntukan berkenaan kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang mengendalikan segmen pengusaha bumiputera yang berbeza.
“Nak bagi semua sekali pun susah. Jadi mungkin perlahan-lahan, kerajaan akan tampil dengan pakej yang tangani perkara ini. Apa yang dia belum rangkumi, insya-Allah dia akan rangkumi,” katanya lagi.
Dalam pakej semalam, Muhyiddin mengumumkan, antara lain, kenaikan peruntukan sebanyak RM7.9 bilion bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac, dari RM5.9 bilion menjadi RM13.8 bilion.
Di bawah inisiatif itu, syarikat akan menerima subsidi upah - berjumlah di antara RM600, RM800 dan RM1,200 bagi setiap pekerja - tertakluk pada jumlah pekerja, dengan syarat pekerjaan mereka dikekalkan untuk tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, ia hanya tertakluk kepada syarikat dengan pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah sahaja.
Bagi menangani kesukaran majikan dalam tempoh PKP ini pula, kerajaan bersetuju menggalakkan perundingan diadakan antara majikan dan pekerja mengenai terma pekerjaan, termasuk pilihan pemotongan gaji dan pemberian cuti tanpa gaji.
Hal itu mengundang kritikan sesetengah pihak, seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyifatkannya sebagai mengetepikan nasib pekerja bergaji atas RM4,000 yang tidak dilindungi dalam skim upah yang ditawarkan kerajaan.
Mengulas hal itu, Ameer menyokong langkah kerajaan itu.
‘Gaji lebih RM4k mungkin beli rumah, dapat tangguh bayaran’
Beliau memberikan contoh bagaimana golongan bergaji kurang RM4,000 selalunya hanya tinggal di rumah sewa, sedangkan golongan bergaji atas RM4,000 selalunya membeli rumah dengan pembayaran secara ansuran- yang telah diberikan penangguhan bayaran.
Dengan mengambil contoh pendekatan di pasar raya Mydin, Ameer berkata langkah itu juga memberikan ruang kepada syarikat untuk berunding dengan pekerja tentang cara pembayaran gaji yang bersesuaian, dalam keadaan syarikat sendiri terjejas ekoran PKP.
Pengarah urusan Mydin itu berkata pekerja Mydin yang bergaji RM3,000 ke bawah dibayar gaji penuh, manakala yang bergaji RM3,000 ke RM5,000 dibayar 75 peratus gaji, sementara yang bergaji RM5,000 ke atas dibayar hanya 50 peratus gaji.
“Kita bukan potong, tapi kita simpan aliran tunai. Dia akan jadi satu simpanan (untuk pekerja).
“Kita akan bayar balik, katalah (contohnya) selepas setahun. Kita buat macam ini. Kita bukan tak bayar gaji, tapi kita bayar lambat sikit,” katanya.
Tindakan menyimpan aliran tunai itu dilakukan memandangkan syarikat juga terjejas apabila hanya barangan yang bermargin tipis laku (beras, minyak, gula dan sebagainya) manakala barangan yang bermargin tinggi (pakaian dan lain-lain) pula tidak laku.
Malah katanya, rundingan itu dilakukan secara dua hala, dan pekerjanya juga memahami keadaan syarikat dan mereka menyatakan bersyukur masih mempunyai pekerjaan dalam waktu yang sukar sekarang ini.
“Jadi saya rasa, pekerja dalam julat gaji itu, lebih dari RM4,000, mereka faham. Kamu boleh berunding dengan mereka,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai