Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Haramkan pasar hidupan liar untuk elak wabak penyakit'

GLOBAL | Ketua kepelbagaian bio Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara di seluruh dunia mengharamkan pasar hidupan liar bagi mengelakkan wabak penyakit pada masa akan datang.

Pemangku Setiausaha Konvensyen PBB mengenai Kepelbagaian Biologi, Elizabeth Maruma Mrema dipetik The Guardian pada Isnin berkata negara perlu bertindak untuk menghalang wabak pada masa hadapan dengan mengharamkan "pasar basah" yang menjual haiwan hidup dan dagingnya untuk makanan manusia.

The Guardian juga melaporkan China dan beberapa negara telah mengeluarkan perintah pengharaman sementara pasar hidupan liar.

Pasar basah ini, seperti di Wuhan, China tempat wabak Covid-19 pertama kali dilaporkan, menjual haiwan seperti musang dan tenggiling yang dikurung dalam sangkar kecil.

Sering kali, haiwan berkenaan dalam keadaan kotor yang boleh membiakkan penyakit yang boleh berjangkit kepada manusia. 

Ramai saintis telah menggesa Beijing untuk menjadikan larangan tersebut berkekalan, kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Mrema menjelaskan terdapat hubungan jelas antara kemusnahan alam sekitar dan wabak penyakit baru kepada manusia.

Beliau memberikan contoh wabak Ebola di Afrika dan virus Nipah di Asia.

Pekerja Unicef bersiap bertugas menangani wabak Ebola di Afrika.

"Pesanan yang kami terima adalah jika kita tidak menjaga alam sekitar, ia akan memberi kesan kepada kita.

"Adalah bagus untuk mengharamkan pasar hidupan liar seperti yang dibuat di China dan di beberapa negara," katanya.

Bagaimanapun, Mrema berkata terdapat kesan yang tidak dijangkakan daripada larangan ini.

Beliau menggesa supaya pendekatan yang diambil perlu mengambil kira kepentingan penduduk kampung atau Orang Asal yang bergantung kepada hasil hutan dan binatang liar.

"Tetapi kita juga perlu ingat yang kita mempunyai komuniti, terutamanya dari kawasan pedalaman yang berpendapatan rendah, terutama di Afrika, yang bergantung kepada binatang liar untuk mengekalkan penghidupan berjuta-juta orang.

"Jadi, kecuali jika kita dapat mencari alternatif (punca pendapatan lain) kepada komuniti ini, kerana terdapat bahaya membuka perdagangan haram haiwan liar yang kini telah membawa dunia ke ambang kepupusan untuk beberapa spesies.

"Kita perlu melihat bagaimana kita mengimbanginya dan benar-benar menutup lubang perdagangan haram pada masa depan."

Apabila Covid-19 menular ke seluruh dunia, terdapat fokus perbincangan mengenai bagaimana kemusnahan alam yang disebabkan manusia menciptakan keadaan untuk penyakit zoonotik (jangkitan dari haiwan ke manusia dan sebaliknya) untuk merebak.

Setiausaha Agung Yayasan Pemeliharaan Kepelbagaian Biologi dan Pembangunan Hijau China, Jinfeng Zhou dipetik The Guardian berkata pihak berkuasa perlu menjadikan larangan pasar hidupan liar sebagai pengharaman kekal.

Zhou memberi amaran wabak penyakit seperti Covid-19 boleh muncul semula, jika keadaan ini tidak diperbetulkan.

"Saya setuju untuk seluruh dunia mengharamkan pasar hidupan liar, yang akan membantu pemeliharaan hidupan liar dan melindungi manusia daripada kontak yang tidak sewajarnya dengan hidupan liar.

"Lebih 70 peratus penyakit manusia adalah daripada hidupan liar dan dengan menjadikannya makanan manusia, banyak spesis haiwan diancam kepupusan," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.