Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bakke paling layak terajui MPOB - Teresa Kok

Bakke Salleh adalah orang "paling layak" untuk menerajui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pemecatannya oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) adalah kesilapan besar, kata bekas menteri perindustrian utama, Teresa Kok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kok berkata Bakke mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor perladangan dan pernah berkhidmat dengan Felda, FGV Bhd dan Sime Darby Bhd.

"Pemecatannya adalah satu kesilapan besar dan kerugian buat industri minyak sawit," kata Kok.

MPOB adalah sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mempromosi dan membangunkan industri minyak sawit Malaysia. Bakke dilantik sebagai pengerusi MPOB pada 31 Julai 2018 untuk tempoh dua tahun.

Menurut Straits Times Singapura, Bakke telah diminta untuk mengosongkan pejabatnya sebelum tamat tempohnya.

Selain pengalaman korporat, Bakke juga adalah ahli lembaga pengarah 1MDB yang melepaskan jawatannya selepas urusan mencurigakan di antara syarikat pelaburan negara itu dengan nternational Petroleum Investment Company (Ipic).

Ketika berita ini ditulis, Bakke belum memberi sebarang maklum balas berhubung permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan ulasannya.

Sementara itu, Kok berkata ramai tokoh industri lain dalam sektor komoditi yang menjadi ahli majlis atau lembaga pengarah juga telah dipecat.

Kok berkata ini tidak sepatutnya terjadi kerana sektor komoditi menyumbang RM142.2 bilion atau 12.7 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun 2019.

"Oleh itu, amat penting bahawa tokoh-tokoh senior dan sangat berpengalaman ini dilantik menjadi ahli lembaga pengarah dan majlis untuk memajukan lagi sektor berkenaan, terutamanya ketika ekonomi negara berkemungkinan menuju ke kemelesetan.

"Walaupun pelantikan pengerusi, pengarah lembaga dan dewan adalah hak mutlak menteri, keputusan tersebut harus dilaksanakan dengan bijak, dengan mempertimbangkan kepentingan industri utama ini dan kepentingan nasional secara keseluruhan.

"Saya harap politik bukan asas pemecatan mereka," kata Kok.