Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PM dijadual umum bantuan tambahan buat PKS

Perdana Menteri Muhyddin Yassin dijadual mengumumkan peruntukan tambahan rangsangan ekonomi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi krisis ekonomi yang disebabkan pandemik Covid-19.

Ini susulan rungutan pemain industri yang mendakwa bahawa pelan terdahulu berjumlah RM250 billion tidak mencukupi bagi membantu sektor PKS.

Muhyiddin dijangka mendedahkan pelan terbarunya itu pada jam 4 petang hari ini di saluran televisyen utama.

Pengumuman itu juga disebut sebagai perutusan khas “Pakej Prihatin” PKS (tambahan).

Peruntukan terdahulu berjumlah RM250 billion, yang diumumkan pada 27 Mac lalu dilihat lebih memberi tumpuan kepada individu menerusi penangguhan bayaran balik pinjaman dan pemindahan wang tunai.

Bagi PKS, pelan rangsangan terdahulu yang antara lain, menyediakan pinjaman, penangguhan cukai, diskaun utiliti dan subsidi gaji sebanyak RM600 selama tiga bulan buat pekerja yang memperoleh gaji RM4,000 atau kurang.

Bagaimanapun, pihak pembangkang turut menggesa subsidi lebih tinggi daripada RM1 200, dengan mendakwa jumalh berkenaan adalah lebih rendah daripada dana yang diumumkan oleh negara-negara lain dan tidak akan mencukupi untuk menghalang kehilangan pekerjaan.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac lalu bagaimanapun ditangguhkan sehingga 14 April.

Melalui PKP, kesemua syarikat tidak perlu (non-essential) perlu ditutup dan orang awam juga hanya dibenarkan keluarkan rumah sekiranya ada urusan penting seperti membeli keperluan asas.

Arahan tersebut juga telah membuatkan sektor ekonomi negara merundum.

Sejak tengah hari semalam, Malaysia merekodkan sejumlah 3,662 kes positif Covid-19 dengan 61 kematian.

Secara keseluruhan kes serata dunia, 1.27 juta orang telah dijangkit wabak terbabit dan 69,459 kematian.