Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

M'sia terima kit ujian pantas Covid-19 dari Korea Selatan esok

Malaysia akan menerima kit pengesanan pantas antigen baharu dari Korea Selatan esok dalam usaha meningkatkan bilangan ujian dan kadar ketepatan setiap ujian COVID-19 yang dijalankan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun, berkata alat baharu itu perlu melalui proses penentusahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan untuk membeli alat tersebut.

"Kita akan laksanakan verifikasi, ujian, walaupun mereka kata ujian itu bagus dan sebagainya yang pasti kita akan laksanakan verifikasi dulu sebelum kita gunakan di hospital kerajaan.

“Jumlah (kuantiti) kita akan lihat dulu jika sensitiviti, spesifikasi dan ketepatan bacaan alat ini tinggi, baru kita akan laksanakan perolehan,” katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di Putarjayai, hari ini.

Beliau berkata kementerian itu berharap sensitivity, spesifikasi dan ketepatan bacaan alat itu boleh mencecah lebih 80 peratus bagi membolehkan mereka meningkatkan bilangan ujian harian dari 11,500 kepada 16,500 ujian.

Dr Noor Hisham berkata ini adalah antara langkah diambil oleh MOH bagi meningkatkan kapasiti 43 makmal yang kini beroperasi di seluruh negara, selain rancangan untuk menambah dua lagi makmal di Sandakan dan Tawau yang kini sedang dalam proses perolehan.

“Semoga kita dapat menangani isu mengenai makmal. Satu adalah reagen, kita kekurangan reagen seminggu lalu tetapi cuba mendapatkan lebih banyak reagen untuk pesakit.

“Lebih penting sekarang adalah mengoptimumkan makmal kami di mana kami cuba melakukan secara berkelompok...lima kes pada satu-satu masa dan ini akan meningkat kapasiti serta berharap dapat mengubah tempoh masa,” katanya.

Selain itu, katanya, kementerian juga sedang mencari satu lagi teknik baharu dalam ujian PCR (tindak balas rantai polimer) dengan mesin automatik mengesan jangkitan dari China.

“Lebih penting lagi, ia dilakukan secara automatik supaya proses boleh dilaksanakan dengan lebih cepat dan mungkin penggunaan mesin itu, kita boleh membuat 5,000 ujian tambahan setiap hari,” katanya.

Mengenai penggunaan terowong sanitasi, Dr Noor Hisham mengakui bahawa ia adalah inovasi yang baik tetapi terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh dilakukan.

"Mungkin satu inovasi baik tetapi seperti kita di kementerian, kita berdasarkan fakta, jadi kami perlu bukti dan fakta. Apabila mereka memberi perkhidmatan itu, mungkin kita kena lihat kepada kajian, sama ada berkesan, apa jenis bahan kimia digunakan,” katanya.

- Bernama